
Media bukan sekadar alat penyampai maklumat. Ia adalah nadi demokrasi, lidah rakyat, dan jambatan antara kerajaan dan masyarakat. Dalam suasana politik dan sosial yang semakin kompleks, media memainkan peranan penting untuk menjamin ketelusan, akauntabiliti dan keadilan. Maka, langkah Kerajaan Madani menubuhkan Majlis Media Malaysia (MMM) menerusi penggubalan Akta Majlis Media Malaysia 2024 adalah tepat pada masanya dan sangat dialu-alukan.
Pada 14 Jun 2025, akta ini diwartakan secara rasmi, menjadikan MMM sebuah badan kawal selia kendiri yang sah di sisi undang-undang. Ia bukan lagi wacana akademik atau cita-cita idealis, tetapi kini institusi sebenar, dan lebih penting lagi, kini “officially open for business” seperti dinyatakan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Penubuhan MMM membawa maksud besar kepada landskap media negara. Buat pertama kali, sebuah badan bebas ditubuhkan secara inklusif, profesional dan bebas daripada pengaruh politik, dengan mandat jelas untuk menjaga etika kewartawanan, menyelesaikan aduan orang ramai terhadap media, serta memacu reformasi dalam undang-undang berkaitan kebebasan maklumat dan kebebasan akhbar.
Teo Nie Ching menyatakan perkara ini secara tegas dalam kenyataan beliau di media sosial:
“Majlis ini bukan sekadar simbolik. Ia menandakan bermulanya era baharu di mana sebuah badan bebas yang akan mengurus hal ehwal media negara secara lebih terangkum, bebas, dan bertanggungjawab.”
Lebih menarik, Anggota Lembaga Pengasas MMM kini telah menerima watikah pelantikan rasmi, menjadikan peranan mereka lebih daripada sekadar penghias nama. Mereka bakal membentuk asas kepada peraturan industri media melalui tatakelakuan industri dan mekanisme aduan, yang dijadual dibentangkan pada Mesyuarat Agung Pertama MMM pada November ini.
Di bawah Kerajaan Madani, MMM bukan sekadar simbol kebebasan akhbar. Ia adalah instrumen untuk membina ekosistem media yang bertanggungjawab, beretika dan progresif, sebuah kerangka yang memastikan semua pihak, daripada wartawan profesional hingga ke pengguna media sosial, memainkan peranan mereka dalam mempertahankan integriti informasi.
Dengan semangat reformasi dan penyertaan pelbagai pihak, dari media arus perdana, media bebas, pengamal, akademik hingga masyarakat awam, inilah detik bermakna untuk mengangkat martabat media Malaysia.