Larangan Penggunaan Telefon Bimbit oleh Pegawai Imigresen Satu Langkah Yang Bijak

Cadangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, untuk melarang pegawai imigresen di kaunter Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 daripada menggunakan telefon bimbit merupakan satu langkah yang bijak dalam usaha membanteras rasuah. Langkah ini dapat mengurangkan risiko penyalahgunaan telefon bimbit dalam urusan kerja, yang boleh membuka ruang kepada kegiatan rasuah.

Walau bagaimanapun, cadangan tersebut boleh diperkukuhkan lagi dengan beberapa langkah tambahan seperti menggantikan penggunaan telefon bimbit dengan alat ‘walkie-talkie’, memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kaunter imigresen KLIA, menjalankan audit berkala, serta mewujudkan sistem aduan tanpa nama yang membolehkan orang ramai melaporkan sebarang salah laku dengan lebih mudah.

Di samping itu, penggunaan kamera badan oleh pegawai imigresen juga boleh menjadi langkah yang lebih komprehensif dalam membanteras rasuah. Kamera badan akan merakam segala interaksi dan perbualan antara pegawai dengan pelawat secara langsung, sekali gus meningkatkan tahap akauntabiliti dan ketelusan. Langkah ini turut berfungsi sebagai pencegahan, kerana kedua-dua pihak sedar bahawa setiap tindakan mereka sedang dirakam.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga perlu tampil ke hadapan untuk memohon maaf berhubung insiden ‘kekecohan’ di KLIA Terminal 1 pada bulan Jun lepas yang melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing. Insiden tersebut berlaku apabila beliau cuba mendedahkan amalan rasuah dalam kalangan pegawai JIM di lapangan terbang.

Dengan pelaksanaan semua langkah ini, usaha membanteras rasuah dalam sektor imigresen dapat dipertingkatkan, sekali gus memulihkan keyakinan orang ramai terhadap integriti dan profesionalisme pegawai kerajaan.

Terima kasih,

Lim Lip Eng

Ahli Parlimen Kepong

Recommended Posts