
Ada sesuatu yang menarik bila kita melihat angka 13 juta rakyat Malaysia sudah menebus manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Angka ini bukan sekadar statistik kerana ia adalah cerminan bagaimana satu inisiatif kecil bernilai RM100 mampu memberi makna besar kepada kehidupan harian rakyat.
Penghargaan SARA ini mungkin nampak sederhana, hanya “sekali beri” dan disalurkan melalui MyKad. Namun, di sebalik angka dan mekanisme itu, wujud satu mesej jelas bahawa kerajaan tidak alpa terhadap denyut nadi rakyat.
Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, pemberian ini bukan sekadar pengurangan beban sara hidup, tetapi juga tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut menegaskan: “Kalau mereka masih ada baki, boleh gunakan lagi sehingga hujung tahun.” Kata-kata ini ringkas tetapi signifikan, kerana ia menunjukkan fleksibiliti dan keprihatinan kerajaan terhadap kebiasaan berbelanja rakyat.
Lebih penting, pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI telah menjadikan bantuan tunai ini lebih inklusif. SARA kini bukan lagi terhad kepada kelompok tertentu, tetapi merangkumi semua warganegara dewasa, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Malah, peruntukan gabungan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA juga meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion, bukti komitmen serius dalam memastikan jaringan keselamatan sosial rakyat terus diperkukuh.
Ada yang menganggap RM100 terlalu kecil untuk menghadapi inflasi. Namun, nilai sebenar SARA bukan sekadar pada jumlahnya. Ia terletak pada simbolik kebersamaan di antara kerajaan menghulurkan tangan, rakyat menyambut dengan rasa syukur.
Di sinilah wujud hubungan timbal balik yang membina kepercayaan.Keikhlasan dan keberanian mengambil langkah inklusif adalah hadiah sebenar.
Rakyat menghargai bukan semata-mata wang yang diterima, tetapi kerana mereka tahu bahawa suara dan kebajikan mereka masih didengari kepimpinan negara.