Lebih libat urus di antara JAKIM dan Industri F&B adalah amat diperlukan untuk menyempurnakan usaha memartabatkan pensijilan Halal

459100232 1102306951264015 8563351272651476420 n

Kenyataan akhbar saya bertarikh 6 September 2024 yang meminta kerajaan mengkaji semula cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mewajibkan restoran yang tidak menjual daging babi dan alkohol untuk mendapat pensijilan halal telah mendatangkan banyak salah faham daripada sesetengah pihak, dan saya didakwa tidak faham Islam dan tidak sokong pensijilan halal.

Di sini, saya ingin menegaskan pendirian saya dalam isu pensijilan halal:
1. Saya menyokong usaha kerajaan, khususnya JAKIM untuk mempromosi pensijilan halal dalam industri makanan dan minuman. Sebenarnya standard yang digunapakai oleh JAKIM dalam pensijilan halal adalah di antara yang paling tinggi di dunia.

Saya mempromosi pensijilan halal Malaysia sejak tahun 2008 bila saya pegang Exco Perdagangan, Industri dan Pelaburan di Selangor sehingga hari ini. Dalam banyak pertemuan dengan rombongan bisnes dan agensi kerajaan asing, salah satu agenda yang saya bangkitkan adalah meminta mereka mendapatkan pensijilan halal dari Malaysia sekiranya mereka ingin mengeksport apa-apa makanan ke Malaysia ataupun negara-negara Islam yang lain.

2. Saya sebagai Ahli Parlimen, saya bertanggungjawab untuk mengutarakan masalah dan suara hati rakyat berbilang kaum. Itu sebabnya saya minta kerajaan mengkaji semula cadangan ini. Kenyataan saya tidak sama sekali bermaksud saya mempersoalkan pensijilan halal, peranan JAKIM atau tidak menghormati agama Islam.

3. Saya mengambil maklum respons YAB Perdana Menteri mengenai kenyataan saya tetapi ingin menjelaskan bahawa saya tidak dapat membangkitkan pandangan saya melalui saluran dalaman, kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) membangkitkan cadangan ini melalui forum terbuka tanpa mengadakan libat-urus dengan wakil rakyat terlebih dahulu. Oleh yang demikian, saya tidak mempunyai peluang untuk menyampaikan pandangan melalui saluran dalaman.

4. Saya akan memberi kerjasama penuh kepada PDRM yang ingin memanggil saya untuk memberi keterangan.

Teresa Kok

Recommended Posts