
KUALA LUMPUR 14 SEPTEMBER: DAP mengambil perhatian serius terhadap pengumuman kerajaan Selasa lepas berhubung rangka cadangan Pelan Tindakan Baru Pendidikan Kebangsaan 2012 hingga 2025 yang memperlihatkan banyak persoalan dasar yang masih belum terjawab.
Dalam satu kenyataannya, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengetengahkan lima perkara fundemantal sebagai syor agar pelan tindakan pendidikan ini dibincangkan semula agar ia mencapai matlamat hasrat pendidikan negara yang bermutu dan holistik.
Menurut Ahli Parlimen Ipoh Timor ini, “Jika segala persoalan dasar penting ini masih meninggalkan tanda tanya, pelan tindakan ini akan mengalami nasib yang serupa seperti semua pelan pendidikan lain yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri yang sebelumnya menjawat jawatan Menteri Pelajaran.”
Idea Kitar semula
Jelas beliau, “Pelan tindakan ini dilihat sebagai idea yang dikitar semula tanpa mengambil pengajaran dari masa lalu sepertimana apa yang berlaku terhadap Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 yang menjanjikan untuk merapatkan jurang pendidikan dengan meneruskan kemudahan infrastruktur asas secara berterusn.”
Akan tetapi ujar Kit Siang, walaupun kerajaan memperuntukan RM16 billion untuk pembangunan infrastruktur fizikal dalam tempoh tersebut, terdapat 1,500 atau 15 peratus lagi dari 10,000 sekolah tidak mempunyai akses kepada kemudahan air untuk diminum malahan terdapat 300 buah sekolah yang masih mengalami masalah bekalan elektrik.
Perkara Kedua yang dibangkitkan beliau melibatkan sikap lepas pandang kerajaan terhadap beberapa dasar untuk mengukuh kualiti pengajaran dan infrastruktur di sekolah-sekolah vernakular dan sekolah agama .
“Kita juga dapati tidak ada pelan yang konkrit dan unik dalam menyelesaikan masalah sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak yang tidak mencatatkan prestasi yang baik serta mengalami pengurangan murid yang tinggi. Ia juga tidak menyatakan sebarang kaedah untuk meningkatkan penyertaan dikalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak sebagai guru dan agen perubahan.” katanya.
Kegagalan mencapai hasrat desentralisasi
Dalam perkara berkaitan, beliau melihat sebilangan dasar yang dirangka dalam pelan tindakan ini tidak mampu untuk mencapai skala yang dihasratkan seperti dasar desentralisasi skop dan tanggungjawab oleh Kementerian Pendidikan di peringkat persekutuan kepada peringkat negeri dan daerah.
“Walaupun ia merupakan sesuatu langkah yang digalakkan, dasar ini seolah-olah tidak dapat pergi lebih jauh dan menyeluruh.
Sebagai contoh, Kit Siang mengetengahkan isu bagaimana reaksi kerajaan terhadap penubuhan sekolah beraliran Inggeris yang merupakan pilihan yang semakin popular terutamanya di kawasan bandar.
30 peratus kumpulan sasar
Perkara keempat yang disentuh melibatkan strategi spesifik yang perlu dikenalpasti supaya dasar-dasar tertentu boleh terlaksana secara efektif.
“Matlamat merekrut 30 peratus golongan sasar terbaik daripada kumpulan tertentu ke dalam profesion perguruan patut dipuji dan ia sepatutnya telah dilaksanakan sejak tahun-tahun lalu.
“Tetapi menurut statistik Kementerian Pendidikan pada tahun 2009, pelajar akademik yang mempunyai prestasi terbaik cuma sekadar 1 peratus daripada pemohon untuk melanjutkan pelajaran dalam program Sarjana Pendidikan dan pada tahun 2011 barulah wujud pertambahan kepada 9 peratus.
Dalam perkara berkaitan, Kit siang berkata DAP secara jelas menyokong cadangan untuk mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) atau Sijil Peperiksaan Bersepadu bagi kemasukan ke universiti dan perkhidmatan awam dimana ia akan mewujudkan suasana pendidikan yang kondusif sebagai sebuah negara yang majmuk.
Kesungguhan DAP terhadap komitmen reformasi dasar pendidikan
Terakhir yang disentuh ialah mengenai pelan tindakan yang akan diterbitkan oleh kementerian untuk mengesan dan mengenalpasti sejauh mana Indeks Prestasi Utama (KPI) dan melaksanakan lima tahun semakan dan tinjauan komprehensif pada 2015, 2020 dan 2025.
Justeru yang menjadi persoalan katanya, “Kita telah melihat bagaimana statistik dan pencapaian yang diumumkan di bawah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah dimanipulasi bertujuan untuk melonjakkan Indeks Prestasi Utama (KPI).
“Satu data terperinci perlu didedahkan kepada umum termasuk keputusan UPSR, PMR dan SPM bagi setiap sekolah rendah dan menengah supaya pihak-pihak tertentu seperti keluarga dan ahli akademik sendiri boleh menilainya secara terus.”
“Jika Perdana Menteri danTimbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan serius terhadap reformasi sistem pendidikan negara, mereka perlu melihat semula dan menangani sebarang persoalan semasa perbincangan umum ini sebelum pelan tindakan tersebut dikeluarkan secara rasmi pada bulan Disember nanti.”-Roketkini.com



