
TELUK INTAN, 30 MEI: Calon PRK Teluk Intan sudah pasti akan menjadi menteri sama ada beliau menang atau kalah, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Kenyataan beliau itu adalah respons terhadap laporan Berita Harian semalam bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan melantik Mah Siew Keong sebagai menteri jika beliau memenangi PRK Parlimen Teluk Intan.
Pengumuman itu dibuat Najib dalam sidang media di Beijing sempena lawatan rasminya ke China untuk mengukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara itu.
“Kenyataan Najib di Beijing adalah omong kosong kerana menang atau kalah, Mah tetap akan dilantik sebagai menteri. Ini bukan kali pertama, perkara begini berlaku. Koh Tsu Koon selepas kalah dengan majoriti 10 ribu di PRU 2008 juga dilantik sebagai menteri.
“Mah mungkin akan cakap dia tidak terima, Tsu Koon membuat perkara sama tapi akhirnya terima juga mengikut ‘pintu belakang’.
“Jadi saya memohon pengundi agar tidak percaya pada kenyataan ini dan memilih DAP 31 Mei ini,” katanya.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga sekali lagi menyeru penduduk Teluk Intan membuat pilihan tepat dengan memberikan kemenangan pada Dyana untuk membuka era dan lembaran baru dalam politik tanah air.
“Saya berharap pengundi tidak menyokong perkauman sebaliknya menyokong politik kemalaysiaan. DAP melihat Dyana bukan sekadar Melayu tapi anak Malaysia.



