Malaysia harus bersama-sama dengan Canada, Mexico dan China untuk menentang tarif melampau oleh Presiden baharu Amerika Syarikat, Donald Trump yang amat-amat membahayakan pertumbuhan ekonomi mampan dan bakal meningkatkan inflasi yang melambung tinggi di seluruh dunia. Perang perdagangan global dengan tarif ala balas dendam bakal membawa kesan buruk yang sama terhadap peningkatan inflasi dan terbantutnya pertumbuhan ekonomi seperti sewaktu pandemik COVID-19.
Atas sebab ini, masyarakat global mesti bersatu untuk melawan tarif Trump. Walaupun tarif 25% ke atas Kanada dan Mexico serta tambahan 10% ke atas tarif sedia ada yang telah dikenakan ke atas China tidak melibatkan Malaysia secara langsung, negara kita masih akan terjejas secara tidak langsung. China adalah rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 15 tahun lalu, lantas sebarang kesan negatif terhadap ekonomi China tentu sekali akan memberi kesan buruk kepada Malaysia.
China membekalkan bahan dan komponen yang diperlukan dengan cara yang paling cekap dan kos efektif untuk hab elektronik di Malaysia. Sebarang peningkatan kos pastinya akan mengganggu rantaian bekalan dan bakal menyebabkan pengurangan pengeluaran. Selain itu, untuk hab elektronik penting seperti Malaysia, rantaian bekalan menjangkau sehingga Mexico dan Canada kerana jarak yang berdekatan dengan Amerika Syarikat, dan merupakan destinasi akhir kebanyakan eksport negara.
Dasar tarif yang sedang digerakkan oleh Trump ini adalah ancaman terbesar untuk membendung inflasi dan menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk Malaysia. Mengurangkan kos perniagaan adalah perlu sebagai pelindungan terhadap inflasi dan untuk mengekalkan perkembangan ekonomi yang berdaya mampan.
Dari sudut domestik, pelarasan kewangan dan cukai berikut dapat mengurangkan kos perniagaan boleh digunakan oleh pihak kerajaan, terutamanya terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS):
1. Menaikkan nilai ambang pendapatan bercukai untuk kadar cukai 15% daripada kadar semasa RM150,000 kepada RM300,000 dan meningkatkan nilai ambang pendapatan bercukai seterusnya untuk kadar cukai 17% daripada RM600,000 kepada RM700,000, sekali gus membolehkan PKS menikmati penjimatan cukai tahunan sebanyak RM10,000;
2. Meningkatkan nilai ambang e-invois yang akan dilaksanakan pada Julai 2025 daripada hasil tahunan RM 150,000 kepada RM 500,000, sekaligus tidak melibatkan perniagaan kecil;
3. Mewajibkan hanya pekerja asing untuk membayar caruman KWSP dan mengecualikan majikan daripada berbuat demikian;
4. Cukai 2% ke atas pendapatan dividen melebihi RM 100,000 hendaklah dihadkan kepada syarikat tersenarai awam dan bukan syarikat swasta;
5. Menangguhkan pelaksanaan cukai mewah untuk menggalakkan pelancongan; dan
6. Menangguhkan penyasaran subsidi bahan api RON95 dan tidak mengapungkan RON95 kepada harga pasaran, yang dijangka bakal menyebabkan inflasi dan peningkatan kos pengangkutan.
Lim Guan Eng
Ahli Parlimen Bagan
Pengerusi DAP Kebangsaan