Bagi memenuhi visi pembangunan lestari, Malaysia komited untuk memajukan ekonomi hijau, membangunkan sumber tenaga baru, memacu peningkatan industri, mempromosikan ekonomi kitaran dan pada masa yang sama membangunkan program perumahan yang berfokuskan rakyat.
Ketika di Forum Bandar Dunia ke-12 (WUF), Menteri KPKT Sdr Nga Kor Ming telah mengesahkan keseriusan Malaysia untuk membentuk masa depan bandar yang mampan dan berfokuskan kepada kesejahteraan rakyat di tengah-tengah kemajuan pesat urbanisasi.
Sdr Nga juga menekankan tekad Malaysia untuk menangani cabaran pertumbuhan bandar termasuk masalah kesesakan dan kemampuan memiliki rumah.
“Untuk memajukan keadilan sosial dan mengelakkan jurang antara dua bandar, kita perlu memastikan semua warganegara, terutamanya golongan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana, mendapat akses kepada perumahan yang mampu milik dan berkualiti”
Selain perumahan, Nga juga menekankan visi lebih luas kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup bandar dengan mewujudkan lebih banyak ruang hijau, serta sasaran untuk membina dan menaik taraf 1000 taman awam dalam tempoh sedekad akan datang, dengan 100 taman akan siap atau dipulihkan setiap tahun.