Malaysia Hab Bakat Serantau: Lonjak 8 Anak Tangga dalam IMD World Talent Ranking 2025

whatsapp image 2025 09 23 at 12.29.04 pm
Malaysia mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila melonjak lapan anak tangga untuk berada di kedudukan ke-25 dalam IMD World Talent Ranking 2025.
Pencapaian ini mencerminkan keupayaan negara di bawah pentadbiran MADANI dalam memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pilihan utama profesional global.
Di rantau Asia-Pasifik, Malaysia kini menduduki tangga kelima selepas Hong Kong, Singapura, Taiwan dan Australia.
Keputusan ini bukan sahaja meningkatkan profil negara, tetapi juga memberi keyakinan bahawa usaha berterusan kerajaan dalam membangunkan ekosistem bakat telah membuahkan hasil.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, dalam kenyataan rasmi berkata, kedudukan ini adalah hasil pendekatan holistik yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sebagai pemudah cara utama dalam pembangunan bakat negara.
“KESUMA menyelaras dasar tenaga kerja, memperkukuh inisiatif pembangunan kemahiran, melaksanakan program latihan industri, serta menjalin kerjasama erat dengan industri dan akademia,” katanya.
Beliau menambah, transformasi struktur di KESUMA memberi penekanan khusus kepada pemerkasaan dasar, peningkatan kemahiran serta pemahiran semula agar tenaga kerja Malaysia kekal kompetitif dan bersedia menghadapi perubahan dalam dunia pekerjaan baharu.
Bagi memastikan pembangunan bakat masa depan, TalentCorp di bawah KESUMA turut menggerakkan Majlis MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) dan program Kolaborasi Industri-Akademia (IAC).
“Inisiatif ini sejajar dengan amalan antarabangsa yang menekankan penyelarasan pembangunan kemahiran mengikut sektor, penglibatan majikan, serta integrasi kemahiran insaniah dan teknikal. Usaha ini penting untuk memastikan graduan terus kekal relevan dengan kehendak industri,” jelas beliau lagi.
Menurutnya lagi, pendekatan bersepadu meliputi pendidikan, latihan, penyelidikan, kerjasama industri-akademia, pembangunan bakat global dan dasar tenaga kerja adalah kunci untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat serantau yang kompeten, adaptif dan mampan.
Kejayaan ini akan memperkukuh daya saing ekonomi negara di peringkat global, sekaligus menempatkan Malaysia pada landasan lebih kukuh dalam menarik dan mengekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Recommended Posts