Malaysia negara tak selamat dalam indeks Unisys, Polis gagal laksana tanggungjawab

KUALA LUMPUR 20 JUN: Kedudukan Malaysia di tangga kedua negara paling diragui keselamatannya dalam Unisys Security Index 2014 membuktikan Polis gagal menjalankan kewajipan mereka untuk menentang jenayah dan menjamin keselamatan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Tinjauan yang dijalankan terhadap 946 respondens di seluruh negara dari 14 hingga 27 Mac menunjukkan peningkatan mengejutkan bagi purata indeks keselamatan keseluruhan di Malaysia dari 160 mata pada 2008 kepada 198 mata tahun ini.

Kedudukan ini meletakkan Malaysia di tempat kedua selepas Mexico, sebuah negara yang dilingkari masalah dadah.

“Amaran perjalanan yang dikeluarkan oleh negara seperti Amerika Syarikat, Britain, dan Jerman terhadap Malaysia nampaknya mengesahkan Laporan Indeks Keselamatan Unisys 2014.

“Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz sendiri bersungut bahawa kes penculikan baru-baru ini di Sabah lebih memberi kesan ke atas industri pelancongan berbanding kehilangan kapal terbang MAS MH370 Mac lalu,” kata Guan Eng dalam kenyataan.

Unisys Security Index adalah sebuah kajian global untuk mengukur sikap dan persepsi pengguna berkaitan isu-isu keselamatan.

Kajian itu mengklasifikasikan isu tersebut kepada empat jenis iaitu keselamatan negara, keselamatan kewangan, keselamatan internet dan keselamatan peribadi.

Kata Guan Eng, insiden penculikan pelancong asing dan rakyat Malaysia yang terus berlaku di Sabah meskipun selepas penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) membuktikan kegagalan pihak berkuasa.

Terakhir, sekumpulan lima orang lelaki bersenjata melarikan seorang lelaki warga China dari sebuah pusat ternakan ikan dekat Lahad Datu dalam satu kejadian pada 6 Mei.

Manakala dalam satu insiden pada 2 April, seorang warga China dan seorang warga Filipina diculik dari Singamata Adventures and Reef Resort, Semporna, Sabah.

Guan Eng justeru itu menggesa pihak polis supaya memberi tumpuan terhadap tanggungjawab mereka dan tidak membiarkan institusi itu diperalatkan untuk menentang lawan politik BN.

Berkenaan penurunan kadar jenayah dalam perangkaan, beliau menyifatkan perkara tersebut sebagai tidak bermakna jika orang ramai tidak berasa selamat.

“Polis tidak harus terus mendakwa bahawa keadaan keselamatan semakin baik sedangkan banyak orang yang menjadi mangsa jenayah.

“Ukuran paling berkesan adalah meningkatkan sekurang-kurang 50% daripada 114,000 anggota polis untuk membanteras jenayah berbanding kurang daripada 20% sebelum ini,” katanya. – Roketkini.com

Recommended Posts