GEORGE TOWN, 24 OKTOBER: Kerajaan Persekutuan diminta mendedahkan angka pelaburan dalam sektor perkhidmatan untuk mendapatkan tumpuan sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor awam sekiranya Malaysia ingin berjaya menjadi negara ekonomi berpendapatan tinggi.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata Malaysia perlu berjaya dalam membangunkan sektor perkhidmatan bagi membolehkan negara ini keluar daripada perangkap pendapatan sederhana dan menjadi ekonomi maju dengan pendapatan per kapita US$15,000 menjelang 2020.
“Apa yang perlu lakukan adalah untuk memastikan perkongsian bersama antara tiga sektor pembuatan, perkhidmatan dan kerajaan.
“Dalam erti kata lain, perkongsian dengan modal, buruh, inovasi dan kerajaan sebagai penggerak. Kerajaan memainkan peranan penting sebagai penggerak antara pembuatan dan sektor perkhidmatan. Kerajaan juga mesti melakukan pelaburan dan inovasi,” katanya dalam kenyataan media, di Komtar, hari ini.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kerajaan perlu melabur dalam infrastruktur, modal insan, insentif dan subsidi selain melaksanakan inovasi dengan dasar baru yang memberi penekanan terhadap:-
* Liberalisasi peraturan sedia ada dan mengurangkan karenah birokrasi, pelupusan daripada perniagaan bukan teras atau menerima konsep “urusan kerajaan adalah untuk menjauhi urusan perniagaan”
* Membenarkan persaingan bebas dan adil dan menggalakkan pembentukan modal insan di mana bakat modal insan kini penjana baru ekonomi global.
Menurutnya, ekonomi Malaysia dan Pulau Pinang sudah beralih daripada pengeluaran pada 1960-an kepada perindustrian, daripada eksport komoditi mentah kepada pembuatan, daripada ekonomi yang bergantung kepada komoditi asas kepada kedudukan kini yang dipacu kecekapan dengan tumpuan kepada pembuatan.
“Bagi membolehkan kita maju ke peringkat seterusnya, ekonomi berpendapatan tinggi, Pulau Pinang perlu bukan sahaja dorongan kecekapan tetapi juga dorongan inovasi dalam pembuatan, perkhidmatan dan juga sektor awam.
“Kemakmuran masa depan Pulau Pinang bergantung kepada kemampuan sektor pembuatan, perkhidmatan dan kerajaan untuk menjadi lebih berorientasikan kecekapan dan inovasi. Atas sebab ini, Kerajaan Persekutuan harus mendedahkan angka pelaburan dalam sektor perkhidmatan untuk mendapatkan tumpuan sektor perkilangan, perkhidmatan dan sektor awam sekiranya Malaysia ingin beralih menjadi ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.
Setiausaha Agung DAP itu juga berkata, walaupun Pulau Pinang adalah penerima tertinggi pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia dengan RM19.7 bilion daripada 2010 hingga Ogos 2013, diikuti Johor dengan RM 16.7 billion, terdapat keperluan untuk memberi tumpuan kepada sektor perkhidmatan.
Menurut jawapan bertulis daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada DAP MP Kuching Chong Chien Jen, bagi tempoh 2010 hingga Ogos 2013, sejumlah 3,023 projek perkilangan dengan pelaburan berjumlah RM174.3 bilion diluluskan.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM102.9 bilion (59 peratus) adalah pelaburan asing, manakala RM71.3 bilion (41 peratus) adalah pelaburan tempatan dan dalam tempoh yang sama, lima negeri yang mencatat jumlah pelaburan asing tertinggi adalah Pulau Pinang (RM19.7 bilion daripada 186 projek perkilangan), Johor (RM16.7 bilion, 374 projek), Sarawak (RM15.6 bilion, 54 projek), Selangor (RM15 bilion, 439 projek), Kedah (RM8 bilion, 79 projek).
Manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos 2013 pula, sejumlah 463 projek perkilangan dengan pelaburan berjumlah RM29.9 bilion diluluskan, daripada jumlah itu, sebanyak RM18.8 bilion (62.9 peratus) merupakan pelaburan asing, manakala RM11.1 bilion (37.1 peratus) adalah pelaburan tempatan.
Dalam tempoh itu, lima negeri mencatat jumlah pelaburan asing tertinggi iaitu Johor (RM6.6 bilion daripada 63 projek perkilangan), Sarawak (RM4.2 bilion, 10 projek), Melaka (RM2.7 bilion, 10 projek), Selangor (RM1.1 bilion, 58 projek), Pulau Pinang (RM1 bilion, 28 projek).-Roketkini.com