KUALA LUMPUR, 13 MAC: Setelah Datuk Seri Shahrizat Jalil akan tamat tempoh menjadi senator dan sekali gus hilang jawatan menteri bulan depan, Datuk Seri Najib Razak disarankan merombak Kabinet dengan melantik Menteri Luar yang baru.
Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP Liew Chin Tong berkata beliau telah mengemukakan soalan-soalan kepada sidang Parlimen sekarang untuk meminta penjelasan tentang prestasi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Katanya, soalan-soalan meminta Anifah menyatakan kekerapan kehadiran beliau sejak dilantik sebagai Menteri dari tahun 2009 hingga 2012:
a) Kekerapan kehadiran menteri dalam hari di Wisma Putra, Putrajaya dan Kuala Lumpur
b) Kekerapan kehadiran menteri dalam hari di Kota Kinabalu dan Kimanis.
c) Kekerapan kehadiran menteri dalam hari di luar negeri untuk urusan rasmi
Menurutnya, soalan-soalan itu diajukan berikutan dakwaan oleh bekas diplomat Dennis Ignatius dalam rencananya “Wisma Putra adrift in foreign affairs”(Wisma Putra hanyut dalam hal ehwal negara) dalam akhbar The Star pada 9 Februari 2012 bahawa “Wisma Putra tidak lagi mempunyai keupayaan untuk menyediakan nasihat yang strategik dan mantap kepada Kerajaan.”
“Berikutan prestasi Wisma Putra yang hambar dan polici luar negara yang kurang arah tuju yang konkrit oleh Kementrian Luar, sudah tiba masanya Najib melantik Menteri Luar yang baru,” ujarnya.
Liew yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, portfoilio Kementerian Luar adalah antara yang paling penting dalam mana-mana kerajaan kerana kepentingan negara selalunya terletak dalam caranya mengendalikan negara-negara jiran dan hal ehwal dunia.
Bagaimana pun, beliau menjelaskan, Anifah tidak mempunyai kepimpinan yang sesuai bagi meletakkan Malaysia ke hadapan dalam hal-ehwal antarabangsa seperti yang ingin dicapai oleh kementerian tersebut.
Pada masa ini, Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), antara organisai antarabangsa yang kita sertai, memainkan peranan yang kurang relevan dalam hal-ehwal dunia berbanding daripada apa yang mereka pernah lakukan dahulu, tambah beliau.
“Semua ini boleh dikaitkan dengan Malaysia memberi tumpuan kepada kepada dasar luar yang reaktif dan bukannya proaktif.
“Wisma Putra yang lebih memberikan tumpuan utama terhadap isu-isu pentadbiran dan perkhidmatan konsular telah gagal dalam menyediakan dasar yang jelas untuk memenuhi agenda luar negara kita,” katanya.
Menurut Liew, kerajaan UMNO-BN telah memilih kaedah “komunikasi strategik global” yang tidak diuruskan oleh kementerian, sebaliknya diserahkan kepada firma dan penasihat asing sebagai agenda utama luar negara.
“Buktinya adalah apabila kerajaan Malaysia sanggup membayar syarikat perhubungan awam asing FBC Media untuk membuat satu siri yang mempunyai lapan dokumentari untuk disiarkan oleh BBC dengan cara yang melanggar etika,” tambah beliau.
Dari segi lawatan diplomatic pula, beliau menjelaskan, lawatan yang dibuat kebanyakannya bagi tujuan formaliti tanpa objektif yang jelas.
“Secara amnya, Anifah menghabiskan lebih banyak masa di Kota Kinabalu ataupun Kimanis, bermain politik, dan bukannya berada di negara-negara asing untuk menggalakkan hubungan yang lebih konstruktif dengan Malaysia.
“Ianya memalukan kerana hanya di Malaysia, kita lihat Menteri Pelancongan, yang sepatutnya menggalakkan pelancongan tempatan, menghabiskan lebih banyak masa di luar negara berbanding Menteri Luar,” katanya. – Roketkini.com