Masjid oh masjid – oleh Putera Pulau

16 JUN – Ketabahan pemimpin Pakatan Rakyat di Pulau Pinang amat dikagumi terutama nakhoda kepada negeri ini Lim Guan Eng. Celaan demi celaan diterima, namun beliau terus gagah memimpin. Tuduhan anti-Melayu dan bersifat rasis adalah senjata utama BN dalam menjatuhkan beliau.

Bukan niat nukilan ini membodek atau mengampu, tapi sedarkah mereka yang menghentam Ketua Menteri Pulau Pinang ini telah menampakkan lagi kewibawaan beliau sebagai pemimpin? Tidak mudah mengalah atau cepat terlatah apabila diserang. Esok Pulau Pinang tetap akan dipimpin. Esok agenda untuk rakyat tetap diteruskan. Esok negeri ini akan terus mencipta gemilang.

Tidakkah terlintas di kalangan pemimpin BN untuk mencabar keupayaan beliau dalam memperkasakan rakyat? Fitnah bukanlah hidangan ditagih rakyat sangat, malah meningkatkan perasaan menyampah di kalangan mereka. Pulau Pinang perlukan pemimpin bukannya penyumpah.

Proses pemilihan ahli jawatankuasa masjid yang baru diperkenalkan oleh Abdul Malik Kassim selaku Exco Agama turut disalahertikan. Misi pemilihan ini telah diracun dengan persepsi dangkal sesetengah pihak.

Belum sempat bernafas atau membuahkan hasil, pemilihan ini disangkal, malah dikatakan idea komunis DAP. Seorang pemimpin yang hanya berusaha memperkasakan rakyat patut disokong dan bukannya dihentam.

Proses pemilihan baru ini bakal memberikan kuasa kepada anak khariah masjid sesebuah kawasan untuk memilih sendiri ahli jawatankuasa masjid yang difikirkan layak memikul amanah yang diberi oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Jika dahulu, ahli jawatankuasa masjid melalui proses lantikan terus oleh MAIPP, namun kini rakyat diberi kuasa untuk memilih. Adakah matlamat pemilihan ini perlu dipolitikkan padahal Selangor telah mempraktikkan dengan jayanya?

Terkenang ketika saya masih bergelar pelajar di Shah Alam, sebuah surau terpaksa ditutup gara-gara dipolitikkan sehingga melibatkan campur tangan pihak orang istana. Wujud dua jemaah dalam setiap waktu solat kerana perbezaan fahaman politik. Saya sendiri keliru apabila anak khariah di kawasan ini mengerjakan solat Maghrib sebanyak dua kali yang diimamkan oleh dua imam yang berbeza.

Sangat memalukan apabila rumah Allah dijadikan medan peperangan politik. Apakah alasan kepada seorang anak oleh seorang bapa jika melihat perkara ini berlaku? Adakah Islam turut terbahagi kepada mazhab politik selain daripada 4 mazhab utama dalam ajaran Islam (Ahli Sunnah)? Pasti kusut dan bingung si anak itu.

Lantaran itu, pemilihan ini disifatkan menghapuskan jurang fahaman politik dibawa masuk ke dalam masjid. Anak khariah sesebuah kawasan lebih arif dan tahu siapa yang mereka pilih. Jangan sampai masjid dikelaskan mengikut fahaman politik kerana ini sangat memalukan – masjid BN khas untuk orang BN dan begitu sebaliknya.

Demi mengekang fenomena ini, perubahan perlu dilakukan. Pernahkah kita mendengar gereja atau kuil dipolitikkan? Jika ada pun, pernahkah ia menjadi mainan olahan media? Orang Melayu beragama Islam patut punyai sifat malu kerana gagal bersatu walau pun di dalam masjid.

Harapan saya dan seluruh rakyat Pulau Pinang adalah sama sahaja, iaitu berusaha dan berubah demi membina sebuah masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang. Saya tidak mahu generasi muda melihat keangkuhan kita hari ini mengagungkan sesuatu fahaman politik sehingga diheret ke dalam masjid.

Namun, sejarah buruk telah tercipta apabila kita sendiri terlalu taksub sehingga terlupa saranan utama Islam kepada setiap umatnya untuk bersatu di samping saling kasih mengasihi serta hormat menghormati. Setiap daripada kita akan terbujur kaku di sebuah kamar sedalam 7 kaki dan lebar 3 inci untuk suatu penghijrahan ke alam yang seterusnya.

Berbaloikah azab yang bakal dihadap sedangkan kita tahu dan mampu mengubahnya? Buang sejenak ego yang menebal untuk sama-sama kita “pikiaq”. Renungkan. – Roketkini.com

 

Recommended Posts