Sejarah Baru Industri Penerbangan: CAAM Kini Badan Tunggal & Bebas Demi Manfaat Jangka Panjang Negara & Rakyat

whatsapp image 2025 06 24 at 4.11.50 pm
Mulai 1 Ogos ini, sejarah baru akan terpahat dalam industri penerbangan negara apabila dua entiti utama, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), disatukan di bawah satu bumbung. Rasionalisasi ini bukan sekadar penstrukturan semula organisasi; ia adalah langkah strategik yang membawa pelbagai manfaat jangka panjang kepada negara, industri, dan rakyat.
Sebelum ini, industri penerbangan kita beroperasi dengan dua badan pengawalseliaan: CAAM bagi aspek teknikal dan keselamatan, manakala Mavcom pula menguruskan aspek ekonomi dan perlindungan pengguna. Dualisme ini, meskipun mempunyai justifikasi sejarah, semakin tidak relevan dalam konteks dunia moden yang menuntut kelincahan birokrasi dan penjimatan sumber. Maka, apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan bahawa CAAM akan mengambil alih sepenuhnya fungsi kawal selia ekonomi daripada Mavcom, ia disambut sebagai keputusan tepat pada masanya.
Antara kebaikan utama rasionalisasi ini ialah penyelarasan fungsi dan pengurangan pertindihan kuasa. Dengan hanya satu badan regulator, proses kelulusan, pemantauan dan kawal selia menjadi lebih cepat dan efisien. Ini memberi impak positif kepada syarikat penerbangan, pelabur asing dan pengguna yang selama ini terpaksa berurusan dengan dua entiti berbeza. Rasionalisasi ini juga membuka laluan kepada CAAM untuk menjadi entiti lebih dinamik yang bersedia menghadapi cabaran global seperti pemulihan pasca-pandemik, krisis tenaga, dan transformasi digital dalam sektor penerbangan.
Langkah ini juga membawa penjimatan fiskal kepada kerajaan. Setelah CAAM diberi status Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan (BBDSB), ia tidak lagi bergantung kepada dana awam tahunan. Maka, rasionalisasi ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan negara, tetapi juga mewujudkan pentadbiran lebih telus dan berakauntabiliti tinggi.
Isu kebajikan petugas Mavcom turut ditangani dengan penuh teliti. Seramai 57 petugas akan ditawarkan penempatan bersesuaian di CAAM, dengan penilaian berdasarkan kemahiran dan pengalaman. Malah, satu sesi dialog awam akan diadakan bagi membincangkan semakan gaji bersesuaian dengan peningkatan tanggungjawab. Ini menunjukkan bahawa reformasi ini tidak dibuat secara tergesa-gesa, tetapi dengan pertimbangan manusiawi yang seimbang.
Lebih penting, rasionalisasi ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menjadikan Malaysia hab penerbangan serantau. CAAM yang diperkuatkan dengan fungsi ekonomi kini berada dalam kedudukan terbaik untuk memacu pertumbuhan industri secara mampan, menyokong inovasi teknologi, dan menarik pelabur antarabangsa dalam sektor logistik, kargo dan pelancongan udara.
Rasionalisasi CAAM-Mavcom adalah langkah ke hadapan yang berani dan berpandangan jauh. Ia bukan sahaja menyusun semula struktur pentadbiran, tetapi juga mengukuhkan asas ekonomi penerbangan negara dalam landskap global yang semakin mencabar. Langit Malaysia kini lebih bersedia untuk terbang tinggi.

Recommended Posts