MCA teringin jadi pelbagai kaum seperti DAP? – Oleh Adil Mat Selamat

“Mari kita tanya Chua Soi Lek sama ada beliau bersetuju dengan Utusan Malaysia bahawa DAP merupakan parti paling rasis di dunia? Jika beliau tidak setuju, adakah beliau akan berani mengutarakannya kepada Utusan Malaysia?”

Soalan itu daripada Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang ditujukan kepada  Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebulan yang lalu. Sehingga hari ini, Presiden MCA itu belum menjawabnya. Mungkin kerana beliau sedar bahawa DAP adalah parti anti-perkauman yang membuka keahliannya kepada semua kaum tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Sebaliknya, beberapa hari lalu, dalam satu ucapan sempena ulang tahun MCA yang ke-63, Chua dengan bangganya mengisytiharkan bahawa MCA adalah parti berbilang kaum (multiracial). Alasan beliau ialah MCA tidak lagi menangani isu-isu kaum Cina sahaja.

Jika benarlah apa yang Chua Soi Lek itu maksudkan, ini adalah satu petanda yang sangat menyihatkan untuk politik Malaysia amnya. Ia menjadi simbol kejayaan politik rakyat yang bergerak seiring dengan perubahan zaman.

Malah, ia juga petanda MCA, secara sedar atau tidak, menerima kepelbagaian kaum sebagai asas untuk perpaduan rakyat. Sayangnya masih ada ramai pemimpin MCA, termasuk Chua sendiri, yang cakap tak serupa bikin.

Contohnya, pada bulan lalu,  Ketua Wanita MCA Pulau Pinang Tan Cheng Liang telah mengutuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang didakwanya menindas kaum Cina kerana menganugerahkan projek melalui tender terbuka kepada kontraktor Melayu yang layak menerimanya.

Bentuk parti berbilang kaum

Apakah yang dikatakan sebagai parti yang berbilang kaum? Adakah kerana ahli-ahlinya, agenda-agendanya atau dasar-dasarnya?

Tanpa ahli atau penyertaan yang berbilang kaum, sama ada secara langsung atau pun tidak (dalam parti), tidak mungkin kehendak atau kepentingan sesuatu kaum itu dapat dikongsi dan didukung bersama-sama. Konsep lengkap-melengkapi tidak dapat wujud dalam organisasi itu.

Tanpa wujud dinamika ini dalam organisasi, maka apa-apa dasar dan isu tidak dapat dijadikan sebagai agenda bersama yang menyeluruh dan merangkumi semua keperluan kaum-kaum yang ada.

Tidak mungkin majoriti ahli yang berbangsa Melayu mampu memahami keperluan dan kehendak kaum minoriti Cina atau India, tanpa penglibatan kaum-kaum ini dalam satu ruang organisasi yang sama (sama rata dan sama adil).

Dalam politik, perjuangan atas premis ‘isu’ sahaja tidak memadai tanpa ada perjuangan untuk membuka ruang kepada semua kaum. Jika hanya perjuangan atas ‘isu’, itulah yang dikatakan retorik dan propaganda politik.

Jelasnya, ciri asas atau bentuk sebuah parti/organisasi yang pelbagai kaum itu mestilah disertai oleh pelbagai kaum dengan hak dan peluang keahlian yang sama rata. Perkongsian ini akan mewujudkan dinamika politik, inilah yang dinamakan politik pelbagai kaum.

Silap mata kuota kaum

Dalam masa yang sama, jangan pula kita terleka dengan silap mata yang bernama “pelbagai kaum” ini. Sungguh pun ciri-ciri asasnya memerlukan penyertaan ahli secara fizikal dan intelek ke dalam sesuatu organisasi, jumlah penyertaan itu tidak boleh dijadikan sandaran atau indikasi mutlak bahawa sesuatu pertubuhan itu sudah berjaya mengamalkan dasar pelbagai kaum.

Malah, parti-parti seperti DAP atau PKR harus sedar bahawa dengan semata-mata adanya kaum Cina, Melayu, India, Kadazandusun atau Iban dalam parti, sama ada sebagai ahli mahu pun pemimpin, itu belum dapat  dijadikan kayu ukur yang sempurna sebagai parti berbilang kaum.

Jumlah atau nombor ini hanyalah sekadar syarat asas yang memerlukan elemen lain untuk memastikan nombor itu diterjemah menjadi satu nilai yang adil. Risiko jumlah atau nombor boleh bertukar menjadi “kuota”.

Pengalaman demokrasi telah menunjukkan bahawa sistem “kuota” – walau pun mungkin ada baiknya di peringkat awal, jika biarkan ia bakal mematikan merit, kelayakan dan keadilan – tidak akan menjanjikan dasar pelbagai kaum itu dapat dijayakan secara efektif, efisien dan adil.

Dasar yang jelas dan terbuka

Ringkasnya, dalam isu ini, jumlah penyertaan ahli dalam sesuatu organisasi bukanlah ramuan mutlak yang mampu membuahkan hasil yang terbaik.

Yang penting adalah sikap dan pegangan peribadi setiap ahli dan pemimpin bahawa mereka benar-benar jujur memperjuangkan hak dan keadilan untuk setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang masing-masing.

Dalam kes MCA, bentuk dan ciri-ciri politik pelbagai kaum itu tidak akan berlaku selagi ia hanya membenarkan kaum Cina sahaja menjadi ahlinya. Malah jika ditakdirkan MCA meminda perlembagaan partinya untuk menjadi organisasi pelbagai kaum pun, ia belum cukup kukuh jika wujud “kuota” yang memastikan hanya satu kaum sahaja layak memegang teraju kepimpinan.

Namun, sama ada Chua teringin melihat MCA popular sebagaimana kepelbagaian kaum DAP atau benar-benar mahu mengubah lanskap politik Malaysia, ia sesuatu yang harus dipuji.

Isyarat ini cukup kuat sekali buat UMNO yang mana para pemimpin dan pecacainya masih di bawah tempurung benci yang sering mengapi-apikan sentimen perkauman. Mungkin suatu masa kelak, jika UMNO terus duduk dalam tempurung politik perkaumun, maka ia akan berseorangan dalam mengharungi politik Malaysia…mungkin. – Roketkini.com

Recommended Posts