Media Yang Bebas Dapat Tegakkan Demokrasi, Keadilan, Kebenaran, Dan Integriti Yang Kurangkan Rasuah Dan Penyelewengan.

Media Yang Bebas Dapat Tegakkan Demokrasi, Keadilan, Kebenaran, Dan Integriti Yang Kurangkan Rasuah Dan Penyelewengan.

Sempena Hari Kebebasan Media Sedunia, DAP menuntut agar Kerajaan Persekutuan segera memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memaksa semua penerbitan membaharui permit setiap tahun serta yang memberi kuasa penuh kepada pemerintah untuk menggantung atau membatalkan permit tanpa sebarang alasan kukuh.

Desakan ini bukan sesuatu yang baru. Sejak ia diperkenalkan DAP telah dari awal lagi menentang undang-undang yang zalim ini, sebagaimana tuntutan DAP supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan turut dibubarkan.

Sebaliknya suatu Akta Kebebasan Maklumat atau Freedom of Information(FOI) harus digubalkan untuk menggantikan undang-undang kejam ini yang tidak relevan lagi dalam dunia tanpa sempadan di mana ekonomi kian berteraskan maklumat dan pengetahuan. Kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah mulakan usaha FOI di Selangor dan Pulau Pinang.

Walaupun media arus perdana yang dikuasai oleh BN dan UMNO terus menyerang habis Pakatan Rakyat dengan pelbagai fitnah dan tohmahan, usaha untuk membebaskan media daripada cengkaman pemerintah dan kroni-kroni mereka akan tetap diteruskan.

Memang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa sukar untuk dihapuskan sama sekali tetapi ia boleh dikurangkan. Di peringkat pentadbiran, kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat termasuk Pulau Pinang telah pun membuktikan ia boleh dikurangkan melalui amalan CAT yang beteraskan cekap, akauntabel dan telus. Maka usaha Pulau Pinang mendapat perhatian dan pujian bukan sahaja daripada Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga Transparency International. Lebihan bajet yang paling besar dalam sejarah negeri Pulau Pinang menjadikan Pulau Pinang digelar negeri yang paling baik dalam pengurusan kewangan.

Buat masa ini, usaha-usaha murni kerajaan-kerajaan negeri Pakatan tidak diberi liputan meluas oleh media arus perdana kerana mereka dikuasai oleh UMNO dan parti-parti komponen BN yang menyekat kebebasan media. Ini dibuktikan oleh pemecatan Presiden Kesatuan Wartawan (NUJ) Hata Wahari oleh suratkhabarnya Utusan Malaysia, yang juga majikannya, kerana mengeluarkan kenyataan bahawa Utusan Malaysia tidak seharusnya menjadi lidah pengarang UMNO tetapi harus berdasarkan peristiwa yang berkaitan dengan rakyat.

Adalah dikesali media massa bersedia menjadi alat propaganda kerajaan menuduh parti pembangkang sebagai pengkhianat dan yang pelik ialah fitnah dan tohmahan ini dibuat oleh media massa UMNO atas alasan ia adalah kebebasan akhbar. Seperti yang disebut-sebutkan,”The Devil may quote the Scriptures for its purpose!”.

Malah, sejak akhir-akhir ini, ada kalangan media arus perdana termasuk TV3 dan Utusan Malaysia yang tidak peduli kepada kesopanan dan kesusilaan sehingga sanggup menyiarkan bahan lucah sebagai berita semata-mata untuk memburukkan kepimpinan Pakatan Rakyat tanpa sebarang bukti yang sah.

Media yang bebas dapat tegakkan demokrasi, keadilan, kebenaran, dan integriti yang kurangkan rasuah dan penyelewengan. Ini telah dibuktikan dengan perbandingan negara yang mengamalkan kebebasan akhbar juga lazimnya adalah negara yang bersih.

Ini boleh dilihat dalam kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International telah merosot daripada No. 33 pada tahun 2002 kepada No.56 tahun lepas kerana kebebasan akhbar tidak bertambah baik tetapi masih dalam kategori “tidak bebas” mengikut Reporters Without Borders.

Utusan Hari Kebebasan Media Oleh Setiausha-Agung DAP Dan Ahli Parlimen Kawasan Bagan Lim Guan Eng Di Kuala Lumpur Pada 3.5.2011.

Recommended Posts

No comment yet, add your voice below!


Add a Comment