Melangkaui Keputusan Akademik: Dorongan Kepada Anak-Anak Mas Gading Melalui Majlis Penyerahan Insentif Sambung Belajar

9574bd5a 2d59 47cd a6d5 6ee8d93734ad

Saya berbesar hati mengumumkan kejayaan pelaksanaan Majlis Penyerahan Insentif Sambung Belajar 2024 yang telah berlangsung di SJK (C) Chung Hua Bau. Sebagai salah satu inisiatif di bawah slogan kami, “Dari Anak Mas Gading untuk Anak Mas Gading yang Berjaya ke Menara Gading,” acara ini telah mengiktiraf dan meraikan pencapaian seramai 207 Anak Mas Gading yang telah berjaya melanjutkan pelajaran mereka ke institusi pengajian tinggi. Sambutan hari ini menghargai semua pelajar, tanpa mengira latar belakang pendapatan ibu bapa serta keputusan akademik mereka.

Sejak insentif ini bermula pada tahun 2019, jumlah pemohon untuk program ini telah meningkat, bermula hanya dengan 30 orang penerima kepada 207 orang penerima pada tahun ini. Walaupun insentif kewangan yang diberikan sebagai bentuk galakan, majlis ini bukan sekadar ganjaran kewangan semata-mata. Malah, anugerah ini merupakan simbol pengiktirafan terhadap keazaman dan komitmen para pelajar untuk terus melanjutkan pelajaran mereka.

Saya percaya sepenuhnya bahawa pendidikan adalah kunci kepada masa depan sesebuah masyarakat kita, dan oleh kerana itu, saya komited untuk memastikan bahawa peluang pendidikan yang sama diberikan kepada para pelajar, terutamanya pelajar di kawasan luar bandar. Sebagai Ahli Parlimen Mas Gading, adalah menjadi matlamat jangka panjang saya untuk menyediakan akses kepada kemudahan pendidikan yang sama seperti yang dinikmati oleh para pelajar di bandar, selaras dengan misi kita untuk mengurangkan jurang pendidikan.

Dalam majlis tersebut, saya turut memberikan penekanan dan peringatan kepada para pelajar agar apabila mereka telah berjaya suatu hari nanti, mereka tidak akan lupa untuk terus membantu dan menyumbang kepada masyarakat khasnya kampung halaman mereka sendiri.

Majlis turut dimeriahkan lagi dengan kehadiran penceramah jemputan, Cikgu Ahmad Faisal atau lebih dikenali sebagai Cikgu Emmet, seorang influencer terkenal. Beliau telah berkongsi pandangan dan motivasi yang berharga kepada para pelajar dan kehadiran beliau jelas membuktikan dedikasi beliau terhadap pendidikan dan pembangunan generasi muda.

Saya bertekad untuk meneruskan usaha-usaha untuk memperkasakan dan membantu anak-anak muda Mas Gading untuk mencapai aspirasi pendidikan mereka agar mereka menjadi penyumbang kepada pembangunan negara kita.

0d2102cc 6a9e 4e20 9768 9c55c869123f

Mordi Bimol
Ahli Parlimen Mas Gading

Recommended Posts