SUBANG JAYA, 10 JUN – Khabar angin dan penantian trilogi terakhir memoir Tokoh Wartawan Said Zahari bakal terjawab seawal-awalnya hujung tahun ini.
Terkenal dengan panggilan Pak Said, beliau berkata memoir yang bakal berjudul Menggenggam Segumpal Harapan ini kemungkinan akan diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia.
Jelas pejuang kebebasan akhbar ini, beliau acap kali ditanya ramai tentang “apa yang Pak Said mahukan dalam hidupnya,” dan wartawan veteran ini berkata, ia akan terjawab dalam memoir terakhir beliau.
“Buku ini adalah pandangan, harapan dan cita-cita saya yang akan disalurkan menerusi ‘genggaman harapan, yang telah ‘digenggam’ saya sekian lama,” jelasnya bersemangat ketika ditemui Roketkini dikediamannya di sini.
Bagaimanapun, Pak Said turut berkongsi sedikit informasi mengenai isi-isi yang terkandung di dalam naskhah tersebut.
Beliau berkata, antara yang dikupas dalam naskhah itu ialah pandangan beliau mengenai kebebasan akhbar yang sudah mati sejak mogok Utusan 1961, selain beberapa isu semasa politik tanah air.
“Ini lah yang saya hendak sampaikan: saya telah genggam segumpal harapan dan gumpalan ini akan saya cambahkan kepada semua wartawan dan orang ramai. Tunggu lah, insyallah,” katanya berpuitis.
Pak Said merupakan bekas wartawan di Utusan Melayu sejak 1955 sehingga mogok Utusan yang terkenal itu pada 1961 – berpunca dari campur tangan UMNO yang mahu mengambil alih Utusan Melayu.
Beliau mengakui ketegasan dan sifat tidak mahu berkompromi terhadap mana-mana pemerintah membuatkan beliau dilihat oleh bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman sebagai ‘membahayakan.’
Beliau yang pernah merengkok hampir 17 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Singapura berkata, memoir tersebut adalah lanjutan dari memoir Meniti Lautan Gelora dan Dalam Ribuan Mimpi Gelisah.
Jelas Pak Said lagi, trilogi memoir terakhir ini telah ditulis beberapa tahun dahulu tetapi, selepas komputernya dicuri, dengan semangat yang masih kuat sebagai wartawan, beliau terasa seolah kekuatan itu lah yang mendorongnya untuk menulis semula naskhah tersebut dari awal.
Beliau berkata, “Saya bukan orang muda lagi, jadi saya tulis pun ikut kemampuan saya lah.”
Beliau turut menjelaskan salah faham di kalangan orang ramai yang selama ini menganggap beliau telah mengepalai mogok Utusan Melayu 1961.
“Sebenarnya yang mulakan mogok itu adalah persatuan pekerja Utusan. Mungkin kerana saya ketika itu ketua pengarangnya, maka saya dituduh mengepalai mogok itu.
“Bukan saya yang mengepalai mogok itu, tapi persatuan pekerja yang mengepalai saya dan lain-lain ketika mogok itu,” katanya. – Roketkini.com