Mengapa Pemangsa Dalam Talian Tidak Layak Dimaafkan

396b05ba fcef 4656 8d28 bd153c429c56

Di Malaysia, kita berbangga menjadi sebuah negara yang menghargai keluarga, komuniti dan masa depan anak-anak kita. Namun, dengan wujudnya ruang internet tidak terkawal yang luas, anak-anak kita berada dalam ancaman. Pemangsa bersembunyi di sudut gelap digital, memanfaatkan ketanpanamaan (anonymity) dan jangkauan media sosial untuk mengantun, memanipulasi dan mengancam golongan paling tidak berdosa dalam masyarakat kita ini.

Perkembangan ini bukan sekadar isu global; ia adalah krisis Malaysia. Sehubungan itu, cadangan pindaan kerajaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 adalah langkah penting yang tidak boleh dipertikaikan dalam melindungi anak-anak kita dan mengheret pemangsa ke muka pengadilan.

Bayangkan seorang kanak-kanak, mungkin anak anda sendiri, berbual dengan tidak bersalah dalam talian, tanpa sedar bahawa di sebalik mesej-mesej mesra itu, tersembunyi seorang pemangsa yang berniat untuk memperdaya kepercayaan mereka. Pengantunan dalam talian adalah proses yang dirancang dengan teliti, di mana si pelaku, sering menyamar sebagai rakan sebaya, membina rasa selamat dan persahabatan yang palsu. Mereka menggunakan pujian, hadiah atau janji-janji untuk mengasingkan mangsa secara emosi, sehingga akhirnya memanipulasi mereka kepada perbuatan eksplisit atau pertemuan secara bersemuka.

Bagi kanak-kanak Malaysia, risikonya sangat tinggi. Setiap “permintaan rakan” atau “DM” boleh menjadi ancaman yang berpotensi. Realitinya adalah mengerikan—terlalu banyak keluarga di Malaysia telah merasai keperitan apabila mendapati anak mereka menjadi sasaran atau dieksploitasi. Ini bukan sekadar pelanggaran hak individu; ia adalah serangan langsung terhadap moral masyarakat kita.

Tiada ruang untuk belas kasihan terhadap mereka yang menyakiti kanak-kanak. Pemangsa memusnahkan kehidupan, menghancurkan keluarga dan meninggalkan luka yang selalunya kekal seumur hidup. Jenayah ini bukan kesilapan atau kekhilafan; ia adalah tindakan kejam yang dirancang.

Cadangan pindaan kerajaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 adalah satu deklarasi tegas ke arah menoktahkan semua ini. Perubahan ini, termasuk hukuman lebih berat bagi pengantunan dan eksploitasi dalam talian, memastikan bahawa pemangsa dihadapkan ke muka keadilan tanpa pengecualian. Kita mesti menghantar mesej yang jelas— jika kanak-kanak diancam maka akibatnya adalah berat!

Pindaan terhadap CMA 1998 ini mengambil pendirian tegas terhadap eksploitasi dalam talian dan mengutamakan keselamatan kanak-kanak. Dengan penguatkuasaan hukuman lebih berat, ia memastikan pelaku menerima hukuman yang setimpal dan dalam masa sama, langkah ini bertindak sebagai pencegah, manakala pelaporan mandatori oleh platform media sosial menutup kelemahan yang sebelum ini membenarkan pemangsa mengeksploitasi ruang digital tanpa halangan. Perubahan ini menegaskan bahawa tiada tolerasi langsung terhadap jenayah ke atas kanak-kanak.

Reformasi ini juga memperkasakan pihak berkuasa dengan peralatan yang lebih baik untuk memantau dan menghalang aktiviti berbahaya dalam lingkungan undang-undang privasi. Lebih penting lagi, ia menekankan pencegahan melalui program literasi digital, membekalkan keluarga dengan pengetahuan untuk mengenal pasti dan melindungi diri daripada ancaman dalam talian. Langkah-langkah ini bersama-sama membentuk perisai kukuh untuk melindungi kanak-kanak kita.

Kepada pengkritik yang bimbang dengan isu penapisan, mari kita letakkan perkara ini dalam perspektif. Kebebasan bersuara adalah asas demokrasi, tetapi ia tidak boleh menjadi pelindung bagi mereka yang menyalahgunakannya untuk mengancam kanak-kanak. Pindaan ini tidak menyekat ekspresi sah mengikut lunas undang-undang; sebaliknya, ia mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dengan toleransi sifar terhadap tingkah laku berbahaya.

Pemangsa dalam talian menggunakan platform yang direka untuk berhubung dengan melakukan perbuatan keji. Dengan menyokong pindaan CMA, kita menetapkan sempadan yang jelas: kebebasan bersuara tidak termasuk kebebasan untuk mengeksploitasi.

Melindungi kanak-kanak kita bukan hanya tanggungjawab kerajaan—ia adalah tanggungjawab nasional. Ibu bapa mesti sentiasa berwaspada, memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka. Platform media sosial mesti meningkatkan usaha mereka – bukan hanya sebagai tindak balas kepada undang-undang – tetapi sebagai sebahagian daripada tanggungjawab moral mereka kepada masyarakat. Sebagai rakyat, kita mesti melaporkan sebarang tingkah laku mencurigakan tanpa ragu-ragu. Berdiam diri hanya memberi keberanian kepada pemangsa. Dengan tindakan, kita dapat menghentikan mereka.

Internet seharusnya menjadi tempat pembelajaran dan berhubung, bukan medan pemburuan bagi pemangsa. Cadangan pindaan kepada CMA 1998 bukan sekadar kemas kini dasar—ia adalah talian hayat bagi ramai kanak-kanak dan satu deklarasi tekad secara kolektif kita untuk melindungi mereka.

Inilah masanya untuk kita bertindak. Dengan menyokong perubahan ini, kita melawan kekejian eksploitasi dan berdiri untuk keselamatan, keadilan, dan harapan. Di Malaysia, tiada toleransi terhadap mereka yang menjadikan kanak-kanak kita sebagai mangsa, dan tiada kompromi dalam perlindungan kanak-kanak kita.

SYERLEENA ABDUL RASHID
AHLI PARLIMEN BUKIT BENDERA

Recommended Posts