Mengenai DAP

Simbol parti

Bulatan berwarna biru adalah lambang perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Latar belakang berwarna putih sebagai lambang kemurniaan dan kejujuran.

Roket berwarna merah sebagai aspirasi Parti dalam membina sebuah masyarakat yang moden, dinamik dan progresif.

Empat pemacu roket berwarna biru dan merah menandakan sokongan dan daya gerak kepada matlamat Parti oleh semua kaum di Malaysia.

Objektif

Sejarah

Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah ditubuhkan pada Oktober 1965 dengan ideologi sosial demokrasi; dengan kebebasan, keadilan sosial, peluang yang saksama, dan perpaduan sebagai prinsip utamanya.

Parti DAP didaftarkan secara rasmi pada 18 Mac 1966 dan simbol rasmi parti iaitu Roket, membuat penampilan sulungnya pada Ogos 1966. DAP bertanding dalam pilihan raya umum pertamanya tiga tahun kemudian dan berjaya memenangi 13 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Kerana prinsip dan perjuangan, ramai ahli dan pemimpin parti terpaksa menderita dan tidak terlepas daripada hukuman. Ramai yang ditahan tanpa bicara di bawah undang-undang zalim Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dipenjarakan atas tuduhan-tuduhan berunsur politik atau dijadikan mangsa fitnah dan momokan.

Bermula dari tahun 90-an, DAP mula menyatukan undi protes dengan menyertai beberapa gabungan politik. Ini termasuklah Gagasan Rakyat (1990-1995); Barisan Alternatif (1999-2001; Pakatan Rakyat (2008-2015); dan kemudian Pakatan Harapan (2015-sekarang). Kerjasama ini terbukti penting dalam mengembangkan wawasan DAP tentang Malaysia yang bersatu.

Pada 2008, senario politik baharu muncul apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga parlimen selepas rasa tidak puas hati besar-besaran terhadap kenaikan harga, peningkatan jenayah dan isu hubungan antara kaum.

BN juga kehilangan negeri Pulau Pinang kepada DAP. Di bawah pentadbiran DAP, Pulau Pinang telah berkembang maju khususnya dari sudut ekonomi.

Selain memenangi pelbagai anugerah, Pulau Pinang juga telah dinamakan sebagai pilihan destinasi pelancongan utama oleh New York Times, Yahoo, CNN, TIME, Forbes, dan Lonely Planet untuk makanan, budaya dan kehidupan hijau yang mampan.

Pada Pilihan Raya Umum 2018, sejarah tercipta apabila gabungan Pakatan Harapan (PH) menamatkan 60 tahun penguasaan BN ke atas Malaysia. Beberapa pencapaian PH termasuk pemansuhan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), penstabilan harga petrol, kawalan harga bagi komoditi asas, pengenalan pas pengangkutan bulanan, penurunan caj internet jalur lebar, penurunan caj tol dan pemansuhan senarai hitam pinjaman PTPTN.

Buat pertama kali dalam sejarah, pemimpin DAP mengetuai kementerian utama seperti: Kewangan, Pengangkutan, dan Industri Utama antara lain. Walaupun kerajaan PH hanya bertahan selama 22 bulan kerana rampasan kuasa politik, ia memberi impak yang besar dalam politik Malaysia.

Terdapat peningkatan yang ketara dalam kedudukan rasuah global Malaysia berikutan tindakan pantas kerajaan PH untuk membersihkan skandal kewangan di Malaysia seperti 1MDB, SRC International, Felda dan Tabung Haji.

Menuju ke hadapan, DAP akan terus berusaha untuk “Malaysian Malaysia” di mana semua rakyat boleh menikmati keadilan, kebebasan, demokrasi, dan tadbir urus yang baik tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan.

Sayap DAP

wanita 2 sept 2024

Wanita DAP

Hak wanita dalam politik, sosial dan ekonomi adalah bahagian penting dan tidak dapat dipisahkan dalam perjuangan DAP demi keadilan sosial.

DAP memahami bahawa perwakilan politik wanita adalah prasyarat asas untuk kesaksamaan jantina dan kerana itulah kami memastikan sembilan kerusi akan sentiasa dikhaskan untuk wanita dalam jawatankuasa eksekutif pusat DAP.

DAP juga telah melahirkan beberapa wakil rakyat wanita, antaranya ahli parlimen wanita termuda di Malaysia (Fong Po Kuan, 1999), ahli dewan undangan negeri wanita pertama (Lok Swee Chin, Oon Hong Geok 1986), ahli dewan undangan negeri Pulau Pinang pertama (Chong Eng, 1995), speaker wanita pertama Malaysia (Hannah Yeoh, 2013), dan menteri wanita termuda Malaysia (Yeo Bee Yin, 2018)

“DAP berharap untuk memecahkan lebih banyak halangan sambil kita berusaha untuk mewujudkan Malaysia yang lebih inklusif dan sama rata”

DAPSY

DAPSY ialah cabang pemuda rasmi Parti Tindakan Demokratik sejak ditubuhkan pada 1972.

DAPSY menyediakan peluang sebenar kepada generasi muda untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam proses politik dan menyumbang kepada penyelesaian praktikal yang memajukan pembangunan. Apabila diberi peluang untuk mengatur dan menyuarakan pendapat mereka, orang muda secara konsisten menunjukkan kesanggupan mereka untuk menuntut dan mempertahankan demokrasi.

DAPSY bertujuan untuk bukan sahaja menggalakkan penyertaan belia dalam wacana politik tetapi juga untuk melatih generasi akan datang sebagai pemimpin yang progresif dan bersemangat.

SOLIDARITI ANTARABANGSA

Pada Oktober 1967, DAP menyertai 55 parti politik lain di seluruh dunia untuk menjadi ahli The Socialist International (SI) di Zurich, Switzerland. Bersama-sama ahli lain yang berfikiran sama, DAP memperjuangkan sosial demokrasi dan tujuan kemanusiaan.

Bagaimanapun, pada Mei 2013, selepas tempoh kegawatan dalam SI, DAP menyertai bekas dan penyandang ahli SI membentuk Perikatan Progresif (PA) baharu.

Perikatan Progresif terdiri lebih daripada 140 parti dan organisasi di seluruh dunia yang memperjuangkan kebebasan, perpaduan, demokrasi, keadilan sosial, dan hak asasi manusia sejagat terutamanya dalam menghadapi autoritarianisme dan penindasan.

DAP berbangga menjadi pengasas dan ahli lembaga PA; platform global yang paling aktif dan berpengaruh merangsang parti politik, kesatuan sekerja dan NGO yang menyokong sosial demokrasi, buruh dan sosialisme demokratik.

Kami teguh menyokong kumpulan yang tertindas dan pembela hak demokrasi, termasuk perjuangan rakyat Palestin dan Rohingya. DAP akan terus menentang keras sebarang bentuk pencabulan hak asasi manusia, diskriminasi dan perkauman di seluruh dunia dengan menegakkan kebebasan, keadilan dan perpaduan.

Marilah kita mengabdikan diri kepada premis asas Perlembagaan Persekutuan bahawa Malaysia adalah milik kedua-dua orang Islam dan bukan Islam, orang Melayu dan bukan Melayu dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak

Lim Guan Eng

PERLEMBAGAAN PARTI

Perlembagaan DAP menggariskan objektif dan perjuangan parti, mentakrifkan struktur organisasi, dan menetapkan peraturan untuk menjalankan urusannya. DAP menerima pakai sosial demokrasi sebagai ideologi dalam Perlembagaan partinya, mencerminkan pegangan nilai demokrasi dan progresif yang pelbagai.

Muat turun Perlembagaan Parti DAP: