Pada tahun 1965, sekumpulan rakyat Malaysia yang berpegang kepada prinsip “Malaysian Malaysia” – hak dan peluang saksama untuk setiap warganegara tanpa mengira kaum dan agama – telah duduk berbincang untuk menubuhkan sebuah parti politik. Mereka berpegang kepada prinsip dan ideologi sosialisme demokratik bagi membezakan perjuangan daripada parti-parti yang ada pada masa itu yang begitu eksterim di pihak kiri dan kanan.
Bagi kumpulan ini yang mana pengerusi penajanya adalah Dr Chen Man Hin, mereka tidak mahu dikaitkan dengan ideologi dan politik komunis yang dianggap terlalu ekstrim dan pada masa yang sama mereka juga menolak politik kaum yang diamalkan oleh UMNO dan Perikatan. Setelah berbincang, mereka mengemukakan permohonan untuk menubuhkan sebuah parti yang bernama Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang diajukan kepada Pendaftar Pertubuhan pada 10 Oktober 1965.
Mereka terpaksa menunggu selama enam bulan sebelum permohonan diluluskan untuk menubuhkan DAP secara rasmi pada 18 Mac 1966. Tetapi proses menunggu itu tidak disia-siakan begitu sahaja. Apabila kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rahang di Negeri Sembilan yang dimenangi oleh Perikatan dalam pilihan raya umum (PRU) 1964 dikosongkan, Dr Chen bertanding sebagai calon bebas pada 11 Disember 1965. Beliau mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya kecil (PRK) itu dengan memperolehi 3,576 undi iaitu majoriti 1,538 undi dalam pertandingan tiga penjuru di mana Perikatan mendapat 2,038 dan Front Sosialis 1,231 undi. Ini bererti kejayaan pertama DAP sebelum diluluskan pendaftaran adalah merampas kerusi milik Perikatan.
Walau pun ia adalah kerusi pertama dimenangi dalam satu PRK, DAP sebenarnya sudah mempunyai satu kerusi Parlimen yang dimenangi oleh C.V. Devan Nair yang bertanding atas lambang Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berpusat di Singapura dalam PRU 1964 sewaktu Singapura masih bersama Malaysia. Nair yang memilih untuk menetap di Kuala Lumpur selepas Singapura disingkirkan dari Malaysia telah dipilih sebagai Setiausaha Agung DAP dengan kerusi Parlimen Bangsar, Kuala Lumpur apabila parti diluluskan pendaftaran pada 18 Mac 1966.
Matlamat perjuangan DAP
Antara matlamat perjuangan DAP yang digariskan atas landasan Malaysian Malaysia adalah:
1. Berjuang menerusi cara-cara berperlembagaan dalam menubuhkan satu masyarakat bercorak sosialisme demokratik di Malaysia;
2. Memajukan dan melindungi kekuatan dan kemerdekaan negara Malaysia;
3. Memelihara negara Malaysia yang demokratik berasaskan hak mengundi dewasa sejagat rakyat Malaysia;
4. Menghapuskan ketidakseimbangan ekonomi dan peluang dalam sistem sedia ada; menubuhkan satu susunan ekonomi yang memberikan peluang pekerjaan kepada seluruh rakyat dan pulangan ekonomi setimpal dengan usaha dan kemahiran mereka; memastikan kehidupan yang memuaskan dan keselamatan sosial kepada golongan tua dan kurang upaya; dan
5. Menyemai semangat perpaduan negara, bermaruah dan berdikari di kalangan rakyat Malaysia dan menggalakkan mereka dengan perasaan untuk berikhtiar dalam mewujudkan satu masyarakat yang makmur, stabil dan saksama.
Perlu dijelaskan bahawa ideologi sosialisme demokratik yang menjadi pilihan DAP adalah fenomena semasa pancaroba 1960-an di mana ideologi sosialis yang mencerminkan perjuangan rakyat menentang penjajah dan kapitalisme telah menjadi pilihan semasa. Namun sebagaimana ideologi dan kepercayaan politik lain, sosialisme mempunyai pelbagai lapisan serta mazhab – daripada komunisme kepada demokrasi sosial. Yang menjadi pilihan DAP adalah sosialisme sederhana yang bersifat anti-komunis dan anti-kapitalis serta menolak pengaruh kuasa-kuasa besar dunia pada masa itu, terutamanya blok Barat dan Timur.
Dalam tahun-tahun 1960-an, Parti Buruh dan Parti Rakyat menganut ideologi kiri sosialisme yang mirip dengan komunisme manakala Parti Gerakan yang muncul pada akhir 1960-an pula hampir sama dengan sosialisme sederhana DAP walau pun pada mulanya ia menolak gagasan kepelbagaian kaum, agama dan masyarakat, sebaliknya mengusulkan konsep satu negara, satu bahasa, satu budaya yang ditolak oleh DAP.
Lebih setahun setelah DAP didaftarkan, Devan Nair mengubah fikiran dan mahu kembali ke Singapura. Dengan itu pada Julai 1967, beliau telah meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung dan digantikan dengan Goh Hock Guan. Pengesahan jawatan itu dibuat dalam Kongress pertama DAP pada 17 Mac 1968. Pada hari yang sama perletakan jawatan Devan Nair diterima, para pemimpin dan ahli DAP berkumpul di Setapak, Kuala Lumpur untuk membuat satu ketetapan yang dikenali dengan nama Deklarasi Setapak yang menyatakan kesungguhan penuh bagi mewujudkan Malaysia yang bebas, demokratik dan sosialis berasaskan prinsip-prinsip kesaksamaan kaum dan keadilan sosial dan demokratik, dan berasaskan demokrasi berparlimen.
Pada September 1967, DAP bertanding buat kali kedua dalam PRK DUN Tampoi di Johor dengan meletakkan Daing Ibrahim Othman sebagai calon. Keputusannya agak membanggakan kerana Daing Ibrahim berjaya mengurangkan majoriti UMNO yang mewakili Perikatan dalam pertandingan satu lawan satu.
Debat kebudayaan dengan Gerakan
Pada 1 Jun 1968, DAP membuat satu lagi perisytiharan dalam menangani isu bahasa, budaya dan pendidikan. Dasar Demokrasi Kebudayaan, antara lain, menetapkan bahawa kepelbagaian budaya boleh menjadi sumber kekuatan negara dan pendorong kepada pertumbuhan bersama budaya, dan bukannya menjadi punca perselisihan, pergaduhan dan perbalahan. Pendirian DAP ini telah ditentang hebat oleh parti Gerakan, terutamanya dari pemimpinnya Dr Syed Naquib Alatas yang mempertikaikan konsep Malaysian Malaysia. Syed Naquib juga menganggap bahawa sastera Malaysia hanya boleh ditulis dalam Bahasa Melayu dan ini bermakna sastera Indonesia juga dianggap sebagai sastera Malaysia. Ini memberi gambaran bahawa jika penulisan sastera Malaysia dalam Bahasa Cina, Tamil atau bahasa-bahasa lain oleh penulis kelahiran Malaysia, ia tidak akan dianggap sebagai sastera warisan negara.
Perbezaan pendapat ini membawa DAP dan Gerakan ke atas pentas debat di Auditorium MARA di Kuala Lumpur pada 24 November 1968 untuk membahaskan hujah-hujah mereka selama lebih enam jam mulai 10 pagi. Lim Kit Siang yang mewakili DAP menjelaskan bahawa Demokrasi Kebudayaan menentang kediktatoran budaya. Kit Siang juga berhujah bahawa seni Malaysia adalah apa-apa sahaja karya yang dihasilkan oleh warga Malaysia dari emosi, identiti, gambaran, konteks sosial dan penglibatannya adalah berkaitan dengan Malaysia, sama ada ia ditulis dalam Bahasa Melayu, Cina, Tamil atau Inggeris.
Selain debat dan usaha membawa idealisme Malaysia untuk setiap rakyat Malaysia, DAP terus memperkenalkan diri dengan bertanding dalam PRK. Pada Oktober 1968, DAP bertanding dalam PRK Parlimen Segamat Utara melawan Tun Musa Hitam (yang kemudiannya menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1981). Sekali lagi, walau pun tewas, majoriti UMNO dikurangkan. Pada Oktober 1968 pula, DAP bertanding dalam PRK DUN Serdang dan sekali lagi tewas. Kali ini DAP mendapat pengajaran politik apabila kempennya diganggu oleh penyokong-penyokong Parti Buruh yang mendesak semua orang memboikot pilihan raya di Malaysia. Kehadiran Gerakan sebagai parti baru juga memecahkan undi pembangkang. Pengajaran itu diterima baik oleh semua pembangkang apabila mereka bersaing sekali lagi dalam PRU 1969.
Kit Siang tidak terlibat dengan tragedi 13 Mei
Perlu diperjelaskan bahawa dalam tempoh tidak sampai tiga tahun penubuhannya, kegiatan politik DAP mencakupi ruang kepelbagaian kaum. Ia bersaing menentang bukan sahaja MCA tetapi juga UMNO di kubu kuat parti-parti berkenaan. Hanya apabila berlaku rusuhan kaum 1969, DAP dipersalahkan oleh UMNO dan konco-konco mereka yang hingga ke hari ini masih dipercayai oleh mereka yang mudah diperdayakan atau enggan menerima hakikat sejarah sebenar.
Dalam PRU yang disertai DAP buat kali pertama pada 10 Mei 1969, DAP yang bertanding di Semenanjung sahaja menang 13 kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN. Ia adalah kejayaan besar bagi DAP yang meletakkan 24 calon Parlimen dan 57 calon DUN.Tiga hari selepas pembuangan undi, berlaku rusuhan kaum di Kuala Lumpur dan kemudian merebak di beberapa bandar di Pantai Barat Semenanjung. Kit Siang sebagai Setiausaha Organisasi DAP pada masa itu berada di Sabah untuk berkempen bagi pihak calon bebas. PRU diadakan di Sabah dalam tempoh yang lebih panjang kerana isu logistik termasuk pengangkutan, iaitu di antara 10 dan 25 Mei 1969. Menyedari kemelut di Kuala Lumpur, Kit Siang pulang untuk membantu meredakan suasana. Sebaliknya apabila beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, beliau terus ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan hanya dibebaskan lebih setahun kemudian pada 1 Oktober 1970.
Di sini juga bermulanya kempen kotor Perikatan yang kemudiannya menjadi acuan keapda Barisan Nasional. Tekanan dikenakan terhadap para pemimpin DAP serta wakil-wakil rakyatnya. Selepas PRU 1969, PAS kekal memerintah Kelantan manakala Perikatan tewas kepada Gerakan di Pulau Pinang. Di semua negeri Pantai Barat Semenanjung, Perikatan telah hilang majoriti dua pertiga. Jadi usaha menekan sambil memujuk wakil-wakil rakyat pembangkang hebat digerakkan oleh UMNO dan Perikatan. Apatah pula, Malaysia pada masa itu sudah ditadbir secara tidak demokratik oleh Tun Razak yang mengetuai Majlis Gerakan Negara setelah menggantung Parlimen selepas pengisytiharan Darurat.
Hock Guan sebagai Setiausaha Agung telah dihantar ke Eropah oleh parti untuk mengadu kepada masyarakat antarabangsa tentang kezaliman ISA dan tekanan terhadap para pemimpin DAP. Dalam perjalanan pulang, beliau singgah di Singapura dan telah diugut oleh ejen-ejen Perikatan bahawa beliau akan ditangkap dan disiksa jika pulang ke Malaysia tanpa meletak jawatan sebagai Setiausa Agung. Beliau takut untuk pulang dan DAP terpaksa menghantar wakil ke Singapura untuk memujuknya kembali. Hock Guan tetap tidak pulang, sebaliknya pergi ke Hong Kong. Dari sana, beliau menghantar surat perletakan jawatan sebagai Setiausaha Agung. Pada 1 Oktober 1969, DAP melantik Kit Siang menjadi Setiausaha Agung ketiga walau pun beliau masih dalam tahanan ISA. – Roketkini.com
*Rencana ini dipetik dan disesuaikan dari buku “Malaysia Milik Kita Bersama: Perjuangan 45 tahun Parti Tindakan Demokratik (DAP)” karya Wan Hamidi Hamid. Buku ini boleh dibeli di kedai-kedai buku utama dengan harga RM15 senaskah.
Akan datang: Tekanan-tekanan kerajaan BN terhadap DAP