Mengesyorkan Kongres Reformasi Negara Diadakan Untuk Melaksanakan Reformasi Yang Boleh Menjaminkan Semua Rakyat Malaysia Hidup Lebih Senang Dengan kemajuan Ekonomi Dan kemakmuran Rakyat Yang Mampan

431263295 961393342024089 3912884045028656705 n

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Speaker atas peluang yang diberikan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan ucapan menjunjung kasih titah ucapan Kebawah DYMM SPB YDP Agong XVII Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar semasa merasmikan pembukaan Parlimen buat kali pertama pemerintahan tuanku.

Sebelum saya memulakan ucapan saya, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan yang tidak terhingga kepada Kebawah DYMM Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang yang telah menaungi negara dan rakyat sebagai DYMM SPB YDP Agong yang ke 16 dengan penuh adil dan bijaksana, khususnya mengharungi cabaran pandemik COVID-19 dan mengatasi kemelut politik yang menyaksikan 4 Perdana Menteri Malaysia dilantik oleh tuanku dalam tempoh 5 tahun pemerintahan tuanku. Tuanku Sultan Pahang memang merupakan pemimpin yang sungguh istimewa kerana berjaya memandu negara ke depan dengan selamat dalam saat krisis kestabilan politik dan keselamatan kesihatan yang penuh genting itu.

Sebagai rakyat yang setia, kita menjunjung titah Tuanku YDP Agong Sultan Ibrahim Ibni Almarhun Sultan Iskandar untuk membela nasib seluruh rakyat tanpa kira latar belakang. Ketegasan tuanku terserlah bila ditekankan bahawa tuanku tidak akan melayan sebarang permintaan dari mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat kestabilan politik negara serta semua pihak mestilah menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

Oleh demikian saya ingin menyarankan Ahli Parlimen tak kira daripada pembangkang atau Kerajaan agar tidak engkar atau khianati pesanan tuanku supaya jangan bermain politik, kalau nak, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang. Sebaliknya kita haruslah kukuhkah perpaduan negara dan pihak ekstremis dan rasis ini tidak seharusnya menghasut rakyat dengan memainkan isu 3R.

Tumpuan utama harus diberikan kepada kemajuan ekonomi dan kemakmuran rakyat. Banyak petunjuk ekonomi negara menunjukkan prestasi yang menggalakkan dalam 2023 seperti kadar pengangguran rendah  3.3%, kadar inflasi rendah 2.5%, jumlah pelaburan yang diluluskan terbesar sebanyak RM329.5 bilion dan eksport negara meningkat ke RM 1.43 trilion. Akan tetapi nilai matawang ringgit tidak mencerminkan prestasi ekonomi yang menggalakkan ini bila ia terus jatuh menjunam ke tahap paling rendah sejak 1998  sebanyak RM 4.80 untuk 1USD.

Ini disebabkan oleh faktor luaran seperti jurang kadar faedah di antara OPR Malaysia dan faedah Amerika Syarikat sebanyak 2.25-2.5% dan juga prestasi ekonomi negara China yang lebih lembab berbanding dengan Amerika Syarikat kerana China adalah rakan perdagangan negara terbesar.

Faktor luaran yang mempengaruhi pasaran tukaran wang asing ini diambil kira oleh penganalisa ekonomi dan kewangan yang tidak lihat penurunan nilai matawang ringgit begitu serius sepertimana yang didakwa oleh pihak pembangkang kerana tidak ada sebarang penurunan(downgrade) tahap penarafan kredit negara oleh agensi antarabangsa.

Ini tidak sama dengan keadaan di mana “credit rating” negara diturunkan  atau downgrade oleh Fitch Ratings pada  Disember 2020 di bawah pemerintahan Kerajaan dahulu, sungguhpun masa itu nilai matawang ringgit tidak jatuh dengan begitu besar sekali. “Credit downgrade” ini semasa Pagoh menjadi Perdana Menteri lebih serius kerana membayangkan prestasi ekonomi yang lebih membimbangkan sehingga kita masih ingat ada yang miskin dan susah kibarkan bendera putih minta tolong.

Oleh itu, sekiranya pihak pembangkang nak menuding jari terhadap Kerajaan perpaduan tentang prestasi ekonomi, jangan lupa empat jari yang menuding balik kerana credit downgrade oleh Fitch ini semasa Kerajaan mereka masih belum dipulihkan lagi. Akan tetapi kerajaan perpaduan tidak akan lari daripada tanggungjawab memperkukuhkan nilai matawang ringgit kerana sememangnya ada kesan negatif kepada rakyat. YB Menteri Kewangan 2 telah bersetuju bahawa Bank Negara bersedia untuk campur tangan dalam pasaran tukaran wang asing dengan rizab asing sebanyak USD 115 bilion demi mengukuhkan nilai mata wang ringgit.

Di samping itu, Kerajaan perpaduan harus melaksanakan reformasi dalam institusi politik dan ekonomi negara untuk memberikan keyakinan bahawa Kerajaan memang serius bergantung kepada produktiviti, daya saingan, bakat sumber manusia dan teknologi bernilai tinggi untuk menjana pembangunan negara yang mampan dan bukannya semata-mata memberikan penekanan kepada belenggu perkauman.

Oleh itu, saya  ingin mengesyorkan bahawa Kerajaan menganjurkan suatu Kongres Reformasi Negara untuk menunjukkan komitmen dan niat yang bulat melaksanakan reformasi institusi. Suatu Kongres Reformasi Negara yang merangkumi semua adalah perlu agar tidak ada mana-mana kumpulan masyarakat yang rasa mereka tercicir atau diabaikan.

Sepertimana yang dititahkan oleh tuanku, kita harus menggembleng tenaga menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026. Pihak ekstremis dan rasis tidak harus memainkan isu sensitif yang akan mencacatkan usaha untuk menjadikan pelancongan sebagai salah suatu pemangkin pertumbuhan ekonomi. Oleh itu kita menyarankan negeri dan industri yang hendak jayakan pelancongan untuk terus bekerjasama dengan usaha gigih Kementerian Pelancongan sedangkan yang mahu bermain politik rasis dan ekstremis boleh terus duduk seperti katak di bawah tempurung.

________

DLP Tertakluk Kepada Ibubapa Tanpa Syarat Yang Juga Dipersetujui Oleh Pihak Pembangkang

________

Saya ingin ucapkan terima kasih kepada YB Menteri Pendidikan atas kelulusan dan bantuan untuk membina SJKC Aik Hua di Pulau Pinang. Adalah diharapkan permohonan kelulusan lesen sekolah baru SJMK Hean Yi boleh dibenarkan dengan segera kerana ia juga adalah sebuah sekolah Kerajaan yang dibina tanpa perbelanjaan kewangan pihak Kementerian.

Isu DLP atau Dual Language Programme mendapat perhatian daripada ibubapa semua kaum yang mahukan anak-anak belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, khususnya sekolah menengah. Adalah diharapkan kaedah yang dipakai sebelum ini, termasuk oleh Kerajaan dahulu boleh terus diterima pakai. Saya mohon agar Kerajaan membenarkan ibubapa memutuskan mahukan DLP untuk anak-anak mereka. Mengapa nak menghadkan ibubapa daripada kebenaran untuk anak-anak mereka belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bila ia tidak dihadkan sedemikian oleh Kerajaan lama? Jangan-jangan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mengatakan Kerajaan lebih baik atau terbuka dalam perkara ini. DLP tertakluk kepada ibubapa tanpa syarat yang benarkan pelajar belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris tanpa sebarang had dan sekatan juga dipersetujui oleh pihak pembangkang.

Kita harus mendukung Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang di antara lain menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak.

Saya juga ingin meminta semua cukai baru termasuk kadar cukai SST dan cukai mewah yang baru disemak semula untuk mengurangkan beban kewangan kepada peniaga dan rakyat. Kalau boleh, ditangguhkan sehingga ada pertumbuhan ekonomi yang lebih memberangsangkan pada akhir tahun ini.

Akhirnya saya ingin menyangkal dakwaan pihak pembangkang tentang wujudnya diskriminasi pemberian peruntukan pembangunan dalam kawasan Parlimen mereka. Sebenarnya kawasan pembangkang dijaga lebih baik daripada kawasan Kerajaan. Ini berlaku dalam kawasan daerah Seberang Perai Utara yang mengandungi kawasan parlimen saya  Bagan dan pembangkang Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Contohnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan meluluskan RM 18.5 juta untuk kawasan Parlimen Kepala Batas dan kosong untuk Bagan, Kementerian Belia dan Sukan RM 3 juta untuk Kepala Batas dan kosong untuk Bagan, Kementerian Pendidikan RM 83 jtua untuk Kepala Batas dan RM 500,000 untuk Bagan, dan Kementerian Kesihatan RM6.3 juta untuk Kepala Batas dan RM3.6 juta untuk Bagan. Di sini yang mana satu kawasan Parlimen pembangkang dan mana satu Kerajaan? Saya tidak menentang peruntukan yang diberikan kepada kawasan pembangkang tetapi hakikatnya seakan-akan kawasan Parlimen Kerajaan diabaikan…

Bagan menyokong.

Recommended Posts