Ini cara Menteri Digital selamatkan pekerja hari ini daripada tersingkir esok akibat gelombang AI

cf8b5681 9d44 4ae3 a58c 2f2dba11435a

Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi ramalan masa depan, ia sudah hadir dan sedang mengubah lanskap pekerjaan di seluruh dunia. Laporan Goldman Sachs 2023 meramalkan bahawa sehingga 300 juta pekerjaan sepenuh masa di peringkat global boleh terjejas oleh kemajuan AI, khususnya AI generatif. Ini bersamaan dengan 18% tenaga kerja global yang bakal berdepan gangguan atau transformasi besar-besaran.

Asia tidak terkecuali. Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), lebih 56% pekerjaan di rantau ASEAN berisiko diautomasi. Negara seperti India dan China sedang bersiap sedia untuk lonjakan besar permintaan terhadap pekerja berkemahiran AI. Namun persoalan penting bagi Malaysia, siapa yang akan paling terkesan?

Jawapannya mudah: pekerja sedia ada, bukan semestinya pelajar atau generasi baru yang sedang menimba ilmu. Ya, para pelajar di universiti sudah menerima pendedahan awal, melalui kurikulum diperkukuh, kursus AI, dan silibus digital yang kontemporari. Mereka, walaupun perlu terus belajar, setidaknya telah dilengkapi asas yang relevan untuk mendepani era AI.

Tetapi bagaimana pula dengan pekerja kilang, penjawat sektor perkhidmatan, kerani, operator data, atau juruteknik? Ramai antara mereka berada dalam zon risiko tinggi, pekerjaan rutin, berulang, dan mudah diautomasi. AI tidak menunggu. Dan jika kita tidak bertindak segera, mereka akan ketinggalan.

Di sinilah hadirnya satu pendekatan yang progresif dan realistik daripada kerajaan Madani, melalui Kementerian Digital yang kini diterajui oleh Gobind Singh Deo. Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Gobind menegaskan bahawa latihan semula dan peningkatan kemahiran tidak boleh hanya ditumpukan kepada belia atau graduan baharu. Fokus kerajaan juga perlu jelas kepada pekerja sedia ada yang berisiko disisihkan oleh gelombang teknologi.

Apa yang menarik, strategi kementerian bukan hanya menggalakkan kursus selepas waktu kerja atau program jangka panjang yang sukar diakses. Sebaliknya, Gobind memperkenalkan konsep latihan semasa bekerja. Ini bermaksud, pekerja tidak perlu menunggu sehingga mereka kehilangan kerja untuk mula belajar semula. Sebaliknya, mereka akan dibimbing dan dilatih ketika masih berada dalam peranan sedia ada, menjadikan peralihan mereka ke peranan baru lebih lancar dan bermaruah.

Program seperti MyMahir dan Minggu Latihan Kebangsaan 2025 menjadi tulang belakang kepada usaha ini, menyasarkan sejuta peluang peningkatan kemahiran dengan penekanan kepada AI dan Revolusi Industri 4.0. Yang lebih penting, program ini tidak tertumpu hanya kepada bandar atau sektor teknologi. Sektor pembuatan, pertanian, malah pentadbiran turut dilibatkan.

Apa yang dilakukan Gobind ini bukan sekadar pelan jangka panjang. Ia adalah intervensi segera untuk menyelamatkan pekerja hari ini daripada tersingkir esok. Ini juga bukti bahawa kerajaan tidak hanya memikirkan masa depan generasi akan datang, tetapi turut memberi keutamaan kepada mereka yang masih menyara keluarga, membayar pinjaman, dan meneruskan kehidupan sekarang.

Recommended Posts