![476341674 1052160513593034 1976673434142656837 n](https://dapmalaysia.org/wordpress/wp-content/uploads/2025/02/476341674_1052160513593034_1976673434142656837_n.jpg)
Melihat kepada situasi masyarakat hari ini dan membawa suara generasi muda hari ini, saya menyeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar dan Menteri Perpaduan, Menteri Perpaduan Negara yang terkini adalah Datuk Aaron Ago Dagang untuk lebih kerap duduk semeja serta lebih banyak membawakan mesej positif tentang keagamaan demi perpaduan masyarakat berbilang bangsa.
Perdebatan seputar isu pengenalan kepada garis panduan umat Islam ke rumah Ibadat bukan Islam ini sepatutnya diambil sebagai pengajaran oleh pimpinan kerajaan hari ini terutama kedua-dua Menteri tersebut bahawa masyarakat Malaysia hari ini amat terdesak didikan integrasi kaum.
Apatah lagi apabila isu-isu berkait dengan agama dan kaum ini dijadikan pula modal politik kotor sesetengah pihak. Yang akhirnya menjadi mangsa adalah masyarakat.
Ambil sahaja isu seputar buku “Becoming Hannah: A Personal Journey” tulisan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, ini menunjukkan bahawa syak wasangka masih menebal wujud dalam kalangan masyarakat Islam terhadap agama lain begitu juga dengan isu Jawi pada tahun-tahun sebelum ini yang menunjukkan kaum-kaum lain juga mempunyai prasangka terhadap agama Islam. Prasangka-prasangka yang wujud ini tidak boleh kita nafikan sememangnya wujud antara kita.
Kerja yang amat keras sebenarnya perlu digembleng oleh kedua-dua Menteri ini dalam masa yang sama mengambil kira sensitiviti masyarakat berbilang bangsa. Ibarat menarik rambut dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak.
Dalam masa yang sama, saya amat bersetuju dengan pendekatan yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau sendiri turun meninjau persiapan menjelang perayaan Thaipusam di Batu Caves dan kemudiannya menyatakan keputusan muktamad Jemaah Menteri bahawa garis panduan untuk umat Islam ini tidak perlu kerana sememangnya sebagai umat Islam, kita sendiri sepatutnya sedar batas serta larangan agama.
Proses memandaikan masyarakat perihal integrasi kaum, perpaduan serta semangat kenegaraan ini sebenarnya perlu dijadikan prioriti oleh pemimpin terutama pentadbir kerajaan hari ini kerana sebagai generasi pelapis negara, saya sendiri mahukan masyarakat berbilang bangsa ini dapat terus hidup dalam aman serta harmoni tanpa prasangka.
Syaheera Ghafar
Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan