Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas yang mendakwa beliau menyembunyikan titah tambahan (adendum) kononnya membenarkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak, menjalani tahanan rumah. Tuduhan palsu ini bukan sahaja mencemarkan nama baik beliau, tetapi juga mencabar integriti kerajaan Madani yang sentiasa berpegang kepada prinsip ketelusan, keadilan, dan kebenaran.
Penyebaran fitnah ini, yang dilakukan secara sengaja, tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan. Oleh itu, Dr. Zaliha disarankan mempertimbangkan tindakan undang-undang, termasuk saman fitnah, terhadap individu atau pihak yang terlibat dalam menyebarkan tuduhan tidak berasas ini. Langkah ini penting untuk melindungi reputasi beliau dan memastikan kebenaran ditegakkan.
Bagi memastikan keabsahan fakta, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), yang berperanan sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan, boleh dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah. Ini bertujuan menyangkal dakwaan bahawa sebarang adendum atau arahan rasmi telah diterima oleh BHEUU daripada pihak Istana Negara, seperti yang didakwa oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Keputusan mahkamah yang muktamad diharapkan dapat merungkai isu kesahihan adendum ini serta menghentikan sebarang spekulasi yang boleh menggugat kestabilan negara.
Terima kasih.
Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong