Menyokong Pindaan Ke atas Akta Perubatan Untuk Mengiktiraf Doktor Pakar Di bawah Program Latihan Kepakaran Laluan Parallel(Parallel Pathway) Demi Menyelamatkan Pesakit Yang Menunggu Rawatan

guaneng111022 nstfield image socialmedia.var 1665472652

Saya ingin menyatakan sokongan sepenuhnya ke atas syor YB Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad untuk meminda Akta Perubatan di Parlimen esok yang berhasrat mengiktiraf doktor-doktor pakar di bawah program latihan kepakaran laluan parallel(Parallel Pathway) demi menyelamatkan pesakit yang menunggu rawatan.

Isu Latihan Kepakaran Laluan Parallel Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjadi polemik dalam wacana nasional kita dan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat. Ia tidak harus menjadi polemik ekstremis kerana pesakit harus menjadi keutamaan tanpa kira latar belakang serta rawatan perubatan yang diberikan dan doktor yang menjalankan rawatan tidak harus dilihat daripada sudut warna kulit.

Saya memuji usaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan semua yang terlibat dalam merangka Rang Undang-undang(RUU) Perubatan (Pindaan) 2024. RUU ini sememangnya cukup komprehensif dan bertujuan untuk menangani kekurangan pakar dan seterusnya mengurangkan masa menunggu untuk perkhidmatan perubatan.

Rang Undang-undang ini bertujuan untuk memastikan Latihan Kepakaran Perubatan (Sarjana Perubatan dan Laluan Parallel) adalah teratur dari aspek perundangan di samping mengiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai penyedia latihan kepakaran. Ia juga adalah untuk memastikan pendaftaran pengamal perubatan yang telah memegang kelulusan antarabangsa dalam latihan kepakaran laluan parallel dapat diselesaikan. Ini penting untuk mengelakkan kehilangan bakat atau hijrah cendekiawan selain daripada mengelakkan kerugian sekurang-kurangnya RM 112.06 juta yang telahpun dibelanjakan oleh pihak kerajaan dan swasta.

Sokongan untuk pindaan Akta Perubatan 1971 amat meluas di kalangan badan-badan bukan kerajaan perubatan yang berpengaruh. Maka Presiden Persatuan Perubatan Malaysia(MMA) Dr Azizan Abdul Aziz telah mendesak pindaan ini disokong demi mengiktiraf program latihan kepakaran laluan parallel(Parallel Pathway) sebagai jalan keluar untuk mengatasi kekurangan kritikal doktor-doktor pakar di Malaysia.

Di samping manfaat utama itu, Dr Azizan juga menyebut tentang bertambahnya peluang latihan pelbagai yang boleh mengurangkan aliran keluar ke negara asing di kalangan doktor-doktor berbakat, serta menambah baik perkhidmatan perubatan tempatan. Rakan-rakan saya dalam DAP pasti menyokong sepenuhnya RUU ini dan saya menggesa semua ahli-ahli Dewan Rakyat, khususnya di pihak pembangkang, untuk membelakangkan sentimen tidak sihat dan sebaliknya menyokong Rang Undang-undang ini kerana ia adalah soal hidup dan mati rakyat kita.

LIM GUAN ENG
AHLI PARLIMEN BAGAN

Recommended Posts