Meterai CoC Laut China Selatan ASEAN 2025 harus dijadikan sasaran demi keamanan, keselamatan dan kesejahteraan Malaysia dan serantau Asia

howard lee 2

Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen Malaysia bagi Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Antarabangsa telah melakukan lawatan rasmi selama dua hari ke Beijing, China pada 7 dan 8 hari bulan Disember 2023

Kami telah mengadakan perbincangan yang sangat berfaedah dengan Timbalan Menteri Jabatan Perhubungan Antarabangsa China, Puan Sun Haiyan. Kunjung hormat kami ke Kementerian Luar Negeri China telah disambut oleh Kaunselor Jabatan Asia, Tuan Wu Jun yang pernah menjawat Konsul jeneral China kepada konsulat China di Pulau Pinang. Lawatan di tutup tirainya dengan jamuan rasmi di Kongres Besar Perwakilan Rakyat China, dipimpini oleh Naib Pengerusi Jawatankuasa Kongres Besar bagi Hal Ehwal Luar Negeri, Encik Wang Ke.

Antara lain, Jawatankuasa telah bertemu dengan Encik Ye Zhonghua, seorang Ahli Lembaga Pengarah Huawei di Pusat Pameran Eksekutif Huawei Beijing, dan juga Encik Peng Xiubin, Ketua Pengarah Biro Hal Ehwal Asia Tenggara dan Selatan, Jabatan Perhubungan Antarabangsa China, serta pucuk pimpinan Jawatankuasa Pengawasan dan Antirasuah Kerajaan Bandaraya Beijing.

Dalam semua pertemuan, kami menegaskan semula serta sambut baik pendirian bersama dan solidariti sekata antara China – Malaysia dengan rakyat Palestin bukan sahaja dalam konteks genosida dan jenayah perang yang sedang dilakukan oleh Israel ke atas orang Palestin, tetapi juga perjuangan lama menentang pendudukan dan perjuangan untuk penentuan nasib sendiri (self determination) rakyat Palestin.

Saya juga membawa perhatian wakil-wakil China terhadap komitmen Malaysia menjadi rakan strategik kepada Inisiatif Pembangunan Global (GDI), dan menyokong kepimpinan proaktif China dalam hal ehwal alam sekitar global. Saya menegaskan semula penghargaan Malaysia terhadap dana khas 10 bilion USD China kepada komuniti global untuk mempercepat usaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).

Mengambil kira kebimbangan bersama mengenai keselamatan, kedaulatan dan kemungkinan campur tangan dari kuasa-kuasa luar wilayah di Laut China Selatan, dan mengakui usaha dan perbincangan berterusan mengenai peningkatan dari Deklarasi Tingkah Laku 2002 (DoC) ke Kod Tingkah Laku (CoC), pertukaran pandangan yang mesra telah dibuat.

Saya menyampaikan cita cita dan cadangan matlamat untuk memanfaatkan tahun 2024 selaku ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan bilateral Malaysia-China untuk meningkatkan usaha bagi memeteraikan Kod Tingkah Laku (Coc) untuk Laut China Selatan semasa Malaysia memegang Pengerusian ASEAN pada tahun 2025. Ini disambut baik oleh semua wakil dari China.

Berhubung dengan keamanan dan keselamatan di rantau ini, isu Selat Taiwan sebagai titik kilat konflik potensi telah dibangkitkan. Kebimbangan rakyat Malaysia terhadap implikasi bencana konflik di rantau itu telah disampaikan.

China memberikan komitmen yang jelas dan tegas untuk memelihara keamanan, dengan mengamalkan kebijaksanaan dan mengambil langkah positif untuk mengukuhkan ikatan domestik antara Taiwan dan China. China juga mencari pemahaman Malaysia terhadap isu domestik Taiwan bagi China yang hanya boleh diselesaikan secara damai dan mesra di dalam negeri tanpa campur tangan luar.

Jawatankuasa menegaskan semula dasar Malaysia yang konsisten dan berpanjangan terhadap Dasar Satu China serta pembangunan aman hubungan rentas Selat.

YB Howard Lee

Ahli Parlimen Ipoh Timor

Ahli JKPK Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Antarabangsa

Ahli Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri Kepada Menteri Luar Negeri Malaysia

Recommended Posts