Ahad lepas, Konvensyen Biasa DAP Sabah berjaya dilangsungkan di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu dan disempurnakan oleh Setiausaha Agung DAP, Sdr Anthony Loke. Seramai lebih kurang 700 perwakilan telah hadir dan seperti yang telah dikatakan oleh Sdr Loke, ini merupakan jumlah perwakilan terbanyak buat DAP Sabah dalam sejarah, lantas menunjukkan kuasa parti sendiri yang semakin meluas dan juga bilangan yang sesuai untuk sebuah parti pemerintah kerajaan.
Dalam ucapan utama beliau, Sdr Loke menegaskan betapa pentingnya persiapan untuk Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal berlangsung tahun depan. Beliau berkata misi yang paling utama ialah untuk menangkan balik 2 kerusi yang telah dirampas iaitu kerusi Elopura dan Sri Tanjong.
“Ini merupakan misi yang paling penting” kata beliau ketika berucap di dewan itu.
Mengulas lanjut, Sdr Loke juga berkata fokus kita bukan sahaja mempertahankan kerusi-kerusi yang kita ada, tetapi kerusi Elopura dan Sri Tanjong mesti kita berjuang habis-habisan dan menang balik di atas parti DAP.
Seolah merujuk kepada tragedi 2022 di mana dua individu yang menang atas tiket DAP, tetapi akhirnya berpaling tadah, beliau berkata dalam parti kita memberi peluang kepada mana-mana calon sehabis baik, tetapi calon kena ingat yang tanpa parti calon tidak boleh menang. Dan apa-apa jawatan kerajaan bukan jawatan individu tetapi ia adalah ihsan parti. Malahan, mereka yang tidak selari dengan pemikiran itu dan keluar daripada parti setelah menang boleh dilabel sebagai pengkhianat.
Pertahankan kerusi Sabah demi kestabilan politik
Sdr Anthony Loke juga berkata DAP Sabah telah melalui pelbagai musim. Dari menjadi pembangkang, hingga kini menjadi sebahagian kerajaan. Wakil DAP Sabah juga menganggotai Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Negeri di bawah bayu ini juga harus ingat yang untuk kekalkan politik yang stabil, mereka harus bertindak selari dengan Kerajaan Persekutuan. Jika ada lagi pertukaran, sudah tentu ekonomi negeri tidak boleh pulih dengan begitu cepat. Yakni, kestabilan Kerajaan Negeri bergantung kepada kestabilan Kerajaan Persekutuan.
Perlu bersiap sedia hadapi PRN Sabah 2025
DAP Sabah diingatkan untuk bersiap sedia menghadapi pilihan raya negeri. Sdr Loke telah tetapkan piawai iaitu semua kerusi yang ditandingi harus kita menang. Bukan itu saja, kerjasama antara parti di dalam Pakatan Harapan juga harus dimantapkan. Kerjasama ini penting bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di Sabah.
Akhir sekali, Sdr Loke berharap pemilihan dijalankan melalui proses demokrasi yang telus dan beramanah. Beliau berharap jawatankuasa yang baru ini merupakan satu entiti yang kuat, bersemangat dan mempunyai keupayaan untuk membawa DAP Sabah ke persada yang lebih tinggi.
“Selesainya (pemilihan) jawatankuasa, esok mula kerja untuk lawan dalam pilihan raya negeri”