20 JULAI – Penubuhan muzium berita yang dicadangkan di bangunan pengarang Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur itu sangat penting bagi suara UMNO itu kerana bakal menyimpan segala laporan berita untuk tatapan semua jenis manusia, sama ada yang betul bendul atau multi-bendul.
Di dalam Utusan Malaysia ruangan Rencana semalam yang bertajuk “Utusan perlu pelopori newseum” sungguh jelas membawa erti nyata kepada keseluruhan rakyat Malaysia bahawa cadangan penulis rencana tersebut memang mahukan Utusan memonopoli muzium akhbar, itu pun jika dibaca oleh 205,561 orang (dari laman Facebook 100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation sehingga pagi ini) yang menuntut Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.
Penulis rencana Utusan itu yang melawat Newseum di Washington D.C. baru-baru ini telah memuji-muji newseum tersebut sehinggalah beliau tertarik kepada satu bahagian di dalam muzium tersebut yang menyenaraikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang tidak mengamalkan kebebasan akhbar.
Mengenai kebebasan akhbar di Malaysia, bukan sahaja Amerika Syarikat yang tahu, malah seluruh dunia dan yang paling penting, rakyat Malaysia sendiri lama sudah sedar mengenai kekangan melampau kerajaan terhadap media.
Bagaimana pun, sebaliknya penulis tersebut mengatakan bahawa “kita tidak perlu terasa hati sangat tentangnya”. Malah, beliau berpendapat supaya newseum yang beliau lawati itu boleh dijadikan insiprasi kepada penubuhan newseum yang patut digerakkan oleh Kumpulan Utusan sahaja.
Dan tidak ada salahnya jika newseum untuk Utusan Malaysia sahaja; malah sangat dialu-alukan supaya diwujudkan segera memandangkan jangka hayat UMNO-BN sejak perhimpunan aman Bersih 2.0 lalu seumpama telur di hujung tanduk.
Manakan tidak terumbang-ambing, mengikut Alexa.com, laman-laman web alternatif yang mana dianggap sebagai “pembangkang” oleh kerajaan UMNO-BN mendahului jauh laman web Utusan Online, selain Google Trends menunjukkan Bersih 2.0 lebih popular dari Perdana Menteri Malaysia.
Kemandulan Utusan bermula sejak kematian tradisi kewartawanan pada 1961, akibat campur tangan UMNO-BN. Utusan Melayu (sekarang Utusan Malaysia) kini menjadi sebuah akhbar “pemangkin fikiran rakyat” yang sangat berkesan sehingga kebanyakan rakyat sudah terpelanting jauh dari pangkin yang didodoi UMNO-BN selama ini.
Penubuhan newseum itu sememangnya akan menjadi sebuah muzium sejati yang bakal menyimpan segala karenah UMNO-BN sepanjang 40 tahun selepas kudeta yang menyingkirkan tokoh wartawan Said Zahari dari jawatan Ketua Pengarang kerana beliau hanya mahukan keadilan dan kebebasan akhbar.
Cumanya, jika sekadar hanya untuk sebuah akhbar sahaja yang memonopoli muzium tersebut – jauh sama sekali dengan newseum di Amerika Syarikat yang mana semua jenis akhbar turut menyumbangkan arkib mereka, mungkin akhbar-akhbar kawalan UMNO-BN yang lain seperti Berita Harian, The Star dan New Straits Times akan terasa hati pula.
Bagaimana pun, jika newseum itu dipelopori oleh Kumpulan Utusan sahaja, mudah bagi UMNO untuk memastikan generasi akan datang hanya akan memahami pergolakan sosial dan politik dari satu dimensi sahaja.
Sepatutnya Utusan tidak menubuhkan newseum tetapi ia perlu mewujudkan propaseum atau muzium propaganda yang dapat menjadi bahan rujukan antarabangsa bagaimana UMNO menguasai negara sejak lebih setengah abad melalui propaganda.
Agak memalukan dunia jika Utusan mahu menubuhkan newseum yang kononnya dari inspirasi Newseum di Amerika kerana di sana matlamatnya ialah memperjuang kebebasan bersuara dari merata sudut global sejak 500 tahun lalu sedangkan di sini ia sekadar penyambung fitnah UMNO.
Lebih jujur kiranya Utusan menubuhkan muzium propaganda supaya para intetek dan pengkaji dari seluruh dunia dapat menggunakan kemudahan tersebut untuk kajian perbandingan mereka bagi membezakan di antara kewartawanan dan propaganda, di antara kebebasan akhbar dan kongkongan media. – Roketkini.com