
IPOH, 9 JAN: Percutian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama keluarganya tidak dipertikaikan, namun ia menjadi masalah jika melibatkan penggunaan jet kerajaan untuk kepentingan peribadi.
Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Wong Kah Woh berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pembantu kepada isteri Najib, Datuk Rizal Mansor bahawa kononnya Perdana Menteri berhak menghabiskan masa berkualiti dengan keluarganya.
“Rizal tersalah pandang. Beliau terlepas sesuatu yang amat mustahak dalam isu ini, iaitu sama ada terdapat salah guna kuasa oleh Najib yang terbang ke seluruh dunia bersama keluarga dengan menggunakan jet kerajaan untuk tujuan tidak rasmi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Adun Canning itu, jet kerajaan 9M-NAA yang baru-baru ini didedahkan terbang merentasi Australia ketika keluarga Najib bercuti di sana, tidak lagi dapat dikesan melalui laman web pengesan penerbangan, flightaware.com.
Jet yang sama sebelum ini dikesan terbang merentasi Hawaii, Los Angeles, Indianapolis, New York, London, Dubai dan Bangkok selepas kepulangan Najib dari sesi bermain golf bersama bekas Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama pada Disember 2014.
“Mengapa data di flightaware.com dibuang jika tidak ada apa-apa yang mahu disembunyikan, lebih-lebih lagi selepas pendedahan percutian Najib dan keluarganya di Australia?
“Adakah kerana perkara sebegini akan berulang lagi?
“Tidak ada yang akan mempersoalkan penggunaan jet kerajaan itu jika rakyat yakin dengan integriti pemimpin. Tetapi, keadaan sekarang bukan seperti itu selepas skandal mega berkembar melibatkan ‘derma’ dan 1MDB yang menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi global,” tegasnya.
Beliau berkata, seluruh rakyat Malaysia mesti menuntut butiran penuh mengenai penggunaan jet kerajaan, tujuan perjalanan serta perbelanjaan yang ditanggung bagi mengelakkan sebarang salah guna kuasa oleh pemimpin kerajaan.
“Maklumat itu perlu disediakan kepada orang ramai sekurang-kurangnya pada setiap suku tahun oleh pihak berkaitan,” ujarnya. – Roketkini.com