Negara koboi – Oleh Edry Faizal

TIADA siapa menyangka hening pagi di Virginia Polytechnic Institute and State University, Amerika Syarikat pada 16 April 2007 bakal bertukar menjadi tragedi berdarah. Seorang daripada penuntut Virginia Tech, Seung-Hui Cho menembak mati 32 orang dan mencederakan 17 yang lain sebelum membunuh diri.

Tragedi yang dikenali sebagai Pembunuhan Beramai-Ramai Virginia Tech kemudiannya menghidupkan kembali perdebatan hangat mengenai pengawalan senjata api. Seperti kejadian pembunuhan beramai-ramai yang berlaku pada tahun-tahun selepas itu misalnya tragedi di sekolah Sandy Hook, perdebatan lebih hangat seputar persoalan pemilikan senjata api.

Akan muncul pihak yang menyokong kawalan ketat senjata api dan pihak yang menyokong kebebasan pemilikan senjata api. Bagi pihak yang pro-kawalan senjata api, tragedi sedemikian menandakan perlunya undang-undang yang lebih ketat terhadap pemilikan senjata api.

Pihak pro-sejata api – biasanya penyokong konservatif Parti Republikan dan kawan-kawan kepada George W. Bush – pula berhujah sekiranya semua orang bebas bersenjata api tentu tiada yang akan ditembak. Jika setiap orang memiliki senjata api dan setiap orang sedar orang lain juga memiliki senjata api, maka tentu tiada yang berani menembak sesiapa kerana khuatir akan dibunuh sebelum sempat melampiaskan nafsu untuk membunuh.

Sebagaimana yang diluahkan oleh keluarga mangsa di Virginia Tech yang menolak kawalan sejata api, “Saya percaya tragedi (pembunuhan) itu tentu tidak akan berlaku sekiranya Cho tahu bahawa warga fakulti atau pelajar dibenarkan membawa senjata api mereka sendiri di dalam kampus”.

Namun kedua-dua pihak sebenarnya mempunyai satu persamaan, yakni tumpuan dan tenaga telah beralih kepada isu pemilikan senjata api. Bukannya mencari akar masalah daripada segenap sudut untuk diselesaikan bagi mengekang kejadian yang sama berulang. Di Malaysia juga apabila menyentuh isu keganasan menggunakan senjata api, nampaknya tumpuan juga sudah semakin teralih.

Senjata api di Malaysia

Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan kes tembakan yang mengorbankan nyawa Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP). Lebih menggemparkan adalah cadangan yang dilontarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas Negeri Terengganu, Ghazali Taib sewaktu mengulas mengenai insiden pembunuhan itu. Mereka mencadangkan penguatkuasa dan pegawai agama di seluruh negara dibekalkan senjata api.

Cadangan ini mirip seruan kumpulan pro-senjata api. Apakah penyelesaian yang dicadangkan untuk menangani masalah berleluasanya keganasan membabitkan senjata api? Banyakkan lagi penggunaan senjata api. Bagaimanakah dapat menghindarkan diri daripada dibunuh? Harus sedia membunuh!

Namun terdapat kerancuan dalam cadangan itu. Pertama, pegawai agama hendak dibekalkan dengan senjata api semata-mata bersandarkan satu kes pembunuhan pegawai agama. Ini tidak memadai untuk mengabsahkan hujah bahawa pegawai agama secara keseluruhannya kini terancam dan berdepan dengan risiko tinggi, sehingga perlunya memiliki senjata api.

Kedua, pembunuhan dengan senjata api merupakan fenomena baru di Malaysia dan ini turut diakui oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Tan Sri Zaman Khan. Hari ini risiko seorang pegawai agama tidak jauh bezanya dengan warga biasa yang lain. Peningkatan kes bunuh menggunakan senjata api mendadak tahun ini memperlihatkan peluru sang penjenayah tidak kenal darjat atau pekerjaan.

Bukankah kita sudah dengar banyak kes tembakan membabitkan Timbalan Ketua Pengarah Kastam, pekerja kedai barang terpakai dan pemilik bank. Malah tahun ini saja menyaksikan tiga guru menjadi mangsa kes tembak. Apakah itu bermakna lebih utama memberikan senjata api kepada guru berbanding pegawai agama?

Dengan keadaan keselamatan negara hari ini, yang jenayahnya sekejap dikatakan statistiknya menurun, sekejap dikatakan berleluasa demi mahu justifikasi undang-undang tahan tanpa bicara, setiap orang berisiko menerima nasib buruk yang sama.

Bukankah polis penjaga keselamatan rakyat?

Lebih membimbangkan ialah pihak polis yang diharapkan dapat menyiasat masalah jenayah seperti ini dilaporkan terbeban kerana kekurangan sumber. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata sesetengah pegawai di Kuala Lumpur terpaksa menguruskan 100 kes disebabkan kurangnya pegawai penyiasatan. Dalam keadaan sebegitu tentu kita tidak boleh menjangkakan hasil yang memuaskan.

Soalan yang sepatutnya direnungkan ialah mengapa keadaan di Malaysia sudah sampai ke tahap ada yang terfikir untuk membenarkan pegawai agama bersenjata?

Tak sukar untuk bekalkan pegawai agama dengan senjata api untuk keselamatan mereka. Akan tetapi sekiranya akar masalah yang menyebabkan munculnya fenomena ini tidak ditangani, apakah suatu hari nanti setiap rakyat perlukan senjata untuk mempertahankan diri kerana kegagalan negara (state) menjalankan tanggungjawabnya? Kita sedang membentuk negara selamat bebas daripada paranoia atau negara koboi moden?-Roketkini.com

Recommended Posts