No one is born hating another person because of the color of his skin, or his background, or his religion. People must learn to hate, and if they can learn to hate, they can be taught to love, for love comes more naturally to the human heart than its opposite. – Nelson Mandela, Long Walk To Freedom
Kita tidak pernah terlepas daripada membincangkan tentang perbezaan dan hak kaum. Jika kita rujuk balik sejarah negara, isu perkauman ini bukanlah isu yang baharu tetapi isu ini sudah lama dimainkan dan diperdebatkan sejak sebelum Merdeka lagi dan mencapai kemuncaknya pada 13 Mei 1969. Peristiwa ini meragut ratusan nyawa dan memberi satu titik hitam dalam sejarah Malaysia.
Isu perkauman semakin lama semakin melarat, seolah-olah tidak ada penghujungnya. Golongan Muslim yang terlibat memainkan sentimen perkauman mungkin lupa untuk merujuk kembali kepada ayat utama dalam Quran yang membicarakan perbezaan, keunikan serta keistimewaan manusia:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah-mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” [Al-Hujuraat 49:13]
Merujuk kepada ayat ini, Allah menciptakan manusia pelbagai bangsa dan puak bukan untuk bergaduh atau menentukan puak mana yang paling mulia tetapi jelas Allah menyeru untuk kita berkenal-kenalan. Kita mungkin berbeza dari segi rupa, kulit, dan agama tetapi semua itu bukanlah sebab untuk kita membenci antara satu sama lain.
Negara-Ku
Baru-baru ini satu gerakan ditubuhkan untuk menebus kembali negara Malaysia ke arah negara yang aman harmoni dan damai yang dinamakan Gerakan Negara-Ku. Gerakan rakyat ini disokong oleh lebih 80 pertubuhan bukan-kerajaan (NGO).
Menurut Datuk Ambiga Sreenevasan, penaung Negara-ku, “Gerakan Negara-Ku adalah untuk membawa rakyat Malaysia bersama-sama memastikan hidup bersama dan mengatasi perkembangan negatif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.”
Apa yang menarik adalah gerakan ini berjaya menyatukan badan-badan yang berbeza ideologi serta perjuangan. Bagi saya, ini satu kejayaan dan kredit perlu diberikan kepada mereka. Malah, gerakan ini dipengerusikan oleh Zaid Kamaruddin yang juga naib presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Saya berpeluang untuk mendengar secara langsung daripada saudara Zaid Kamaruddin tentang hala tuju gerakan ini. Secara asasnya, Negara-Ku merujuk kepada tiga dokumen asas, iaitu Perlembagaan Negara, Perjanjian Malaysia dan Rukun Negara. Gabungan ketiga-tiga dokumen ini sangat signifikan dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum dan berbeza pegangan agama. Perlembagaan Malaysia adalah rujukan utama dalam undang-undang manakala Rukun Negara adalah asas kepada ideologi negara. Beliau juga berkata usaha ini akan menggesa kerajaan serta lembaga-lembaga kerajaan untuk menghormati dan menjunjung kedaulatan undang-undang negara sepertimana termaktub dalam rukun ke-4 Rukun Negara.
Usaha yang dibuat Negara-Ku ialah untuk mengembalikan keharmonian negara dan menghasilkan negara yang adil. Rakyat sudah muak dan jijik dengan suasana politik yang memecahbelahkan semua pihak.
Kita perlu menolak semua jenis budaya ketaksuban, kebencian dan kekerasan. Budaya seperti ini sedikit pun tidak menguntungkan rakyat kebanyakan, malah yang bodoh akan kekal bodoh. Pembentukan masyarakat inklusif sangat penting dalam suasana masyarakat yang berbilang kaum, bahasa yang pelbagai serta kaya dengan adat resam.