Selepas Beberapa Dekad, Malaysia Kembali Jadi Pemimpin Dunia: Pengiktirafan yang Wajar untuk Nga Kor Ming

nkm un
Sudah lama kita tidak mendengar nama Malaysia sebagai Presiden di pentas tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kali terakhir negara mendapat perhatian besar ialah ketika Tan Sri Razali Ismail dilantik sebagai Presiden Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1996, dan sebelumnya pula ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Presiden Persidangan Agung UNESCO pada tahun 1989. Dua figura ini telah meletakkan nama Malaysia sebaris dengan negara-negara kuasa besar dalam urusan diplomasi dan pembangunan antarabangsa. Tidak ramai juga yang mengingati bahawa pada tahun 2010, Tan Sri Hamidon Ali telah mengharumkan nama negara apabila beliau dilantik sebagai Presiden Majlis Ekonomi dan Sosial PBB (ECOSOC).
Kini, setelah beberapa dekad, Malaysia kembali menyinar, kali ini menerusi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang baru sahaja dilantik sebagai Presiden Perhimpunan Agung UN-Habitat bagi penggal 2025–2029. Yang lebih membanggakan, pelantikan ini dibuat sebulat suara oleh 193 negara anggota PBB. Ia bukan sahaja satu pengiktirafan peribadi kepada Nga Kor Ming, tetapi juga satu penanda bahawa Malaysia kini kembali mendapat tempat di pentas antarabangsa.
Bagi yang belum begitu arif, UN-Habitat ialah agensi utama PBB yang bertanggungjawab menggalakkan pembangunan bandar yang inklusif, mampan dan tahan iklim. Ia bukan sekadar bicara tentang pencakar langit atau bandar pintar semata-mata, tetapi soal hak perumahan, keadilan sosial bandar, dan cara kita membina persekitaran hidup yang memberi keutamaan kepada rakyat, termasuk yang paling terpinggir.
Sebagai Presiden, Nga Kor Ming tidak hanya menjadi pengerusi sidang atau pemimpin simbolik. Beliau kini memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju dasar bandar global, memimpin perbincangan dan konsensus antara negara maju dan membangun. Malaysia, buat pertama kali dalam sejarah moden, mempengaruhi agenda perbandaran global secara langsung.
Apa yang menarik, Malaysia tidak bersendirian. Sepanjang penggal ini, kita akan memegang jawatan Presiden dan kerusi dalam Lembaga Eksekutif UN-Habitat, bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mewakili rantau Asia Pasifik. Ini mencerminkan satu bentuk kerjasama serantau yang menunjukkan kepercayaan tinggi terhadap peranan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Dalam ucapannya selepas pelantikan, Nga Kor Ming menekankan keperluan menjadikan UN-Habitat sebagai jambatan antara aspirasi global dan realiti tempatan. Ini bukan sekadar kata-kata diplomatik, ia mencerminkan pendekatan Malaysia yang semakin matang dan pragmatik dalam membawa suara negara membangun ke meja perundingan global.
Pelantikan ini juga berlaku pada waktu yang tepat. Di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Malaysia kembali aktif dalam diplomasi pelbagai hala. Justeru, pengiktirafan ini bukan sekadar kebetulan, ia adalah refleksi terhadap konsistensi dasar luar Malaysia yang semakin mendapat penghormatan dunia.
Secara tidak langsung, pelantikan ini juga menutup mulut segelintir pihak yang sering memperlekeh reputasi Malaysia di luar negara. Jika benar kita tidak dihormati, masakan 193 negara bersetuju sebulat suara melantik wakil kita sebagai Presiden badan global?
Mungkin sudah tiba masanya untuk kita lebih menghargai pencapaian ini. Ia bukan kemenangan individu semata, tetapi simbol kejayaan negara dalam membawa naratif kemajuan, kelestarian dan kepimpinan yang inklusif di persada antarabangsa.

Recommended Posts