
Isu kebersihan bandar kembali menjadi perhatian apabila tahap kebersihan di beberapa kawasan tumpuan awam didapati masih membimbangkan, meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak berkuasa.
Keadaan ini menimbulkan persoalan besar sama ada sikap membuang sampah sesuka hati sudah menjadi satu kebiasaan dalam kalangan masyarakat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyuarakan kebimbangan terhadap sikap segelintir individu yang terus mencemarkan kawasan awam, khususnya di pusat bandar dan lokasi tumpuan orang ramai.
Menurut beliau, keadaan ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah memberi imej negatif kepada negara.
“Persoalannya, adakah ini budaya kita? Malaysia sedang melangkah ke arah negara maju dan bersedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, namun sikap tidak bertanggungjawab seperti ini mencemarkan imej bandar raya serta nama negara di mata masyarakat dan pelancong.tegas”, tegas beliau
Kerajaan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta pihak berkuasa tempatan terus komited melaksanakan kerja pembersihan dan penguatkuasaan secara berterusan.
Usaha ini bertujuan memastikan bandar kekal bersih, teratur dan selesa untuk didiami. Namun, menurut Nga, keberkesanan usaha ini sangat bergantung kepada tahap kesedaran masyarakat.
“Saya ingin menegaskan bahawa kebersihan bandar bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan, SWCorp atau PBT, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.”
Sebagai langkah memperkukuh disiplin awam, tindakan lebih tegas akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2026.
Individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, selain dikenakan perintah khidmat masyarakat maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan.
Pendekatan ini bertujuan mendidik orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan berdisiplin terhadap kebersihan persekitaran.
Dalam masa yang sama, orang ramai diseru agar menghormati ruang awam yang dikongsi bersama, khususnya ketika menyambut perayaan atau menghadiri program besar.
Penggunaan tong sampah yang disediakan dan pematuhan kepada undang-undang adalah langkah asas dalam membentuk bandar yang bersih dan tersusun.
Seperti yang ditegaskan oleh Nga Kor Ming, bandar yang bersih mencerminkan masyarakat yang berbudaya tinggi.
Usaha menjadikan bandar lebih bersih, lestari dan berdaya huni tidak boleh digalas oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen semua pihak demi kesejahteraan generasi akan datang.



