Nie Ching gesa Harakah bertaubat setelah sebar berita palsu, fitnah terhadap PMX

Lidah rasmi parti PAS, Harakah dinasihat segera bertaubat dan insaf daripada kerja-kerja menjaja fitnah di zaman teknologi serba canggih ini.

“Pada akhirnya nanti, PAS dan juak-juaknya juga akan dilondehkan sebagai pemfitnah terbesar akhir zaman,” demikian tegas Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching dalam reaksi terhadap upaya terbaru PAS menyebarkan khabar palsu di tengah kehangatan kempen pilihan raya enam negeri yang sedang berlangsung.

“Saya kasihan melihat bagaimana terdesaknya PAS yang terus menerus membina naratif palsu demi menyerang ketokohan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

fwvtjhrwiaiku0a

“Walaupun PAS begitu bangga mendabik dada dengan ‘Gelombang Hijau’, parti ini masih begitu laparkan publisiti murahan berasaskan fitnah dan kepalsuan, seolah-olah ia tidak akan kenyang dengan politik fitnah dan adu-domba yang diamalkan,” ujarnya.

Beliau mengulas demikian berikutan tindakan Harakah kononnya membuat sebuah ‘pendedahan’ yang mendakwa gambar ikonik Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat tangan kepada penyokong dengan mata yang lebam pada tahun 1998 adalah kerja suntingan.

“Ini tidak lain untuk mengangkat profil Datuk Seri Hj Sanusi Md Nor, yang mengajuk gaya terbabit ketika didakwa di mahkamah tempoh hari.

“Tindakan Harakah ini adalah sangat kebudak-budakan dan memalukan profesyen kewartawanan,” jelasnya sambil menambah bahawa gambar tersebut telah disahkan asli oleh warga pengamal media yang menjadi saksi mata ledakan gerakan Reformasi 1998.

Semakan oleh portal Malaysiakini malah menentusahkan bahawa bahawa gambar ikonik tersebut diambil oleh jurugambar Ed Wray dari agensi berita Associated Press.

Bukan sahaja gambar, momen tersebut turut dirakam secara video oleh pihak media serta ribuan penyokong Anwar pada ketika itu.

Bagi Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, tindakan Harakah dan PAS untuk memperbodohkan khalayak umum adalah sangat memalukan, malah menghina mantan presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang berada di baris hadapan gerakan Reformasi.

“Sebegitu mudahkah PAS mahu cuba mengubah sejarah demi manfaat politik populis media sosial, sehingga sanggup menimbulkan fitnah dan menggelarnya pendedahan eksklusif?” kecamnya tegas.

Nie Ching menggesa Harakah dan sidang pengarang serta pimpinan PAS supaya memohon maaf segera kepada jurugambar terbabit, selain kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri atas fitnah yang begitu dangkal.

– tamat –

Recommended Posts