Olimpik Paris sebagai langkah permulaan, kini fokus Olimpik LA 2028

hannah azeem

Sukan Olimpik Paris 2024 telah melabuhkan tirainya secara rasmi pada tanggal 11 Ogos lalu. Temasya edisi 2024 ini menyaksikan 26 atlet negara berentap di pentas dunia membawa nama Malaysia.

Tanah Perancis menjadi saksi kesungguhan para atlet negara kita yang mengorbankan segalanya untuk membutirkan pingat dan kemenangan untuk negara. Rakyat Malaysia telah menyaksikan segala suka dan duka atlet kita di sukan akuatik (terjun), renang, sukan pelayaran, menembak, memanah, berbasikal, angkat berat, badminton, golf dan olahraga.

Comeback luar biasa dan kejutan besar dalam memberi saingan

Pada edisi kali ini, dua pingat gangsa telah dihadiahkan oleh jaguh-jaguh badminton negara. Pingat gangsa pertama datang menerusi beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menumbangkan beregu nombor dua dunia dari Denmark. Manakala pingat gangsa kedua dibutirkan oleh perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia melalui comeback yang luar biasa.

Selain dua pingat gangsa ini, beberapa atlet negara juga telah membuat beberapa kejutan besar yang hampir membawa mereka menaiki podium dan mencipta sejarah tersendiri.

Berdepan dengan beberapa beregu pilihan kejohanan, beregu wanita badminton negara Pearly Tan-M.Thinaah telah berjaya melepasi semua halangan tersebut hingga berada di tempat keempat terbaik di temasya kali ini. Mereka telah mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama negara yang mara ke separuh akhir Sukan Olimpik.

Selain badminton, kontinjen negara juga telah dikejutkan dengan aksi mantap dan bertenaga dari atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan yang berjaya meraih tempat keempat. Siapa sangka dengan tubuh yang kecil, beliau hampir-hampir menaiki podium apabila dipisahkan dengan hanya satu kilogram (1 kg) berat angkatan dengan pemenang pingat gangsa.

Tekanan demi tekanan terus dirasai oleh pasukan berbasikal trek negara. Namun, kesungguhan Muhammad Shah Firdaus Sahrom telah membawanya ke pusingan akhir Keirin. Beliau telah menyajikan kayuhan berkelas dunia hingga ke saat-saat akhir dengan menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Secara keseluruhannya, para atlet negara telah memberikan yang terbaik dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

Fast Track Road To Gold bermula sebaik berakhirnya temasya di Paris

Kini bermulalah persiapan untuk kita memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2024. Jawatankuasa Road To Gold yang diketuai Menteri Belia & Sukan, Hannah Yeoh telah pun mengumumkan pelaksanaan program Fast Track dalam misi mengejar pingat emas dalam Olimpik LA 2028 akan bermula sebaik berakhirnya temasya di Paris.

Kelompok ini akan terdiri daripada atlet berumur 16 hingga 25 tahun yang tempatnya khas buat pemenang Sukan Asia tahun lalu. Selain itu, 4 orang atlet skuasy negara sedang dipersiapkan melalui program ini oleh kerana sukan skuasy akan dipertandingkan pada Olimpik LA 2028.

Setiap atlet ini telah ditetapkan sasaran (milestones) yang perlu dicapai dalam setiap tahun. Antaranya meningkatkan ranking dunia serta memenangi pingat di Temasya Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2026.

Hannah Yeoh melantik ramai bekas atlet utama untuk membantunya

Selain mempersiapkan atlet, organisasi yang mengurus juga perlu ditambah baik dari masa ke semasa. Salah satu usaha yang dilakukan Hannah Yeoh ketika memulakan insiatif Road To Gold ini adalah untuk menempatkan individu yang tepat di posisi yang sesuai. Dalam tempoh yang singkat Hannah Yeoh telah berjaya membawa masuk serta melantik ramai bekas atlet utama untuk membantunya.

“Saya percaya bahawa bekas atlet memahami sukan dan keperluan atlet. Dalam Jawatankuasa Road To Gold, saya mempunyai tiga bekas atlet utama untuk membantu saya – Lee Chong Wei, Nicol David, dan Mirnawan Nawawi.”

Di Majlis Sukan Negara Malaysia, beliau mempunyai Olympian Suriaghandi Suppiah dan Lee Chong Wei untuk membantunya. Di Institut Sukan Negara Malaysia pula, beliau mempunyai Datuk Marina Chin dan Nicol David untuk membantunya.

Di Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), beliau mempunyai Farah Ann, Jeffrey Ong, dan Soo Beng Kiang untuk membantunya. Begitu juga dalam Jawatankuasa Safe Sports, beliau melantik Nurul Huda sebagai pengerusinya.

Dengan kesemua ramuan ini, diharapkan kita dapat terus meningkatkan prestasi sukan negara serta membutirkan pingat emas negara yang pertama pada Sukan Olimpik LA nanti. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua atlet negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Recommended Posts