KLUANG 23 OKT: DAP Johor khuatir Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) mungkir janji dalam Memberi pampasan kepada orang Asli yang mendiami Kampung Abdul Rahman Yassin di sini, sekalipun sebahagian besar rumah sudah diroboh.
Pegawai Khas Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali, berkata ia berikutan JAKOA menyatakan proses bayaran pampasan hanya dibuat selepas penempatan orang Asli kampung itu dikosongkan sepenuhnya.
Malah, katanya, JAKOA mahu menarik balik bayaran pampasan jika gagal mendapat persetujuan semua penduduk sedangkan penduduk menunggu surat perjanjian yang dijanjikan hari ini (Jumaat).
Semalam, sebahagian besar rumah diroboh Pejabat Tanah Daerah dan Majlis Perbandaran Kluang hingga mengakibatkan penduduk terpaksa ‘merempat’ ke pusat transit sementara untuk tempoh yang tidak diketahui.
Beberapa orang Asli enggan berpindah tetapi bersetuju berbuat demikian jika ada perjanjian bertulis berkaitan pampasan manakala baki penduduk ditempatkan di Balai Raya Batu 8 Pusat Intelek Pelajar Orang Asli (PIPOA) dan beberapa lokasi lain.
Tiga tuntutan mereka hanyalah bayaran RM2,500 tunai, rumah gantian mengikut jumlah keluarga dan nama mereka dimasukkan dalam senarai projek ladang.
Pada hari perobohan 21 Oktober lalu, beliau berkata persetujuan pemilik beberapa rumah yang tidak diroboh dan enggan ke pusat transit sementara selagi tidak ada ‘hitam putih’ mengenai tiga perkara yang dijanjikan JAKOA.
“Sebaliknya JAKOA memberi gambaran pampasan tidak akan diberi jika tiada pengosongan penuh berlaku. Mereka seolah-olah cuba bermain silap mata mungkin kerana ada perkara yang cuba disembunyikan.
“JAKOA harus berpegang pada janji yang dipersetujui pada 21 Oktober lalu. Kegagalan memberi penerangan sebenar hanya mersoakkan reputasi mereka sepatutnya berfungsi membela orang Asal,” katanya.
Kampung berkenaan diteroka Ajon Bakar sejak 45 tahun lalu dan didiami 23 keluarga orang Asli yang berhijrah dari Rompin, Negeri Sembilan dan berasal sekitar sini.