
Calon DUN Bukit Gasing dalam pilihan raya negeri Selangor kali ini, Rajiv Rishyakaran tidak seperti calon-calon yang lain.
Mempertahankan kemenangannya di kawasan terbabit, Rajiv membuat keputusan untuk tidak berdiri di pentas dan memberitahu pengundi tentang apa yang beliau fikirkan baik untuk penduduk setempat.
Sebaliknya bapa kepada tiga orang anak ini bertekad untuk menganjurkan sebuah sesi interaktif wacana polisi supaya warga DUN Bukit Gasing sendiri dapat ikut serta memberikan buah fikiran mereka dalam merencana jalan ke hadapan untuk kejiranan tersebut bagi tempoh lima tahun akan datang.
Dalam perkongsian di media sosial, Rajiv mengajak orang ramai ke sesi perbincangan dua hala tersebut; di saat ramai calon-calon lain lebih gemar menganjurkan ceramah politik.

Netizen rata-rata memberi reaksi positif sambil berkongsi senarai pencapaian yang dapat mereka lihat.
Di Twitter, @zach1ZA menghimbau inisiatif di bawah DUN Bukit Gasing, termasuk program Kumpool, sebuah inisiatif berkongsi kenderaan yang kini turut beroperasi di beberapa kawasan lain di Petaling Jaya.
Selain Kumpool, Rajiv juga merupakan wakil rakyat pertama yang menyediakan pemeriksaan saringan Covid-19 pada harga berpatutan pada peringkat awal wabak tersebut melanda negara.
Seorang lagi pengguna Twitter, @RajaHaziq123 menyifatkan kempen wacana polisi seperti yang dilakukan Rajiv perlu dijadikan kebiasaan.
“Kita nomalisasikan kempen macam ni insyaAllah one day. Terbaik Rajiv. Duduk Kg Pasir tapi hari-hari lalu Jalan Gasing pergi dan balik kerja. Banyak program dan inisiatif dari Rajiv and the team. Terbaik.”
Bagi pempengaruh Twitter, Syed Akramin, pendekatan sebegini dilihat sebagai contoh calon minda kelas pertama.
“Inilah tugas seorang ADUN. Cadang, bahas dan kritik dasar serta polisi kerajaan negeri, demi untuk kesejahteraan rakyat. Ini contoh calon minda kelas 1.
“Manakala calon minda kelas 3, asyik bercakap soal warna kulit, sebar kebencian agama tapi apa fungsi ADUN pun dia tak tahu,” ciapnya.
Rajiv berdepan pertandingan tiga penjuru melawan calon-calon dari Perikatan Nasional dan Muda, pada hari mengundi 12 Ogos akan datang. DUN Bukit Gasing mempunyai sejumlah 54,238 orang pengundi berdaftar.
Pada PRU14, beliau menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 25,835 undi. Kedua-dua pihak lawannya hilang wang pertaruhan.
Program ‘Petaling Jaya: The Next 5 Years’ dijadual berlangsung pada hari Khamis, 3 Ogos jam 8.30 malam di Dewan La Salle, Petaling Jaya.