P. Patto, sempena 29 tahun pemergiannya

27156fcc 9cd5 426a 988a ec82a31d97a0

Hari ini genap 29 tahun pemergian mendiang P. Patto. Namun bagi mereka yang menyayangi beliau, rasa seperti baru semalam pemergiannya pulang ke negeri abadi. Bagi mereka yang tidak mengenali, P. Patto merupakan sosok politik yang tiada galang gantinya.

Saudara P.Patto dilahirkan di Bagan Serai pada 19 Disember 1946. Ketika berusia 25 tahun, beliau terdetik hati untuk turut serta dalam perjuangan DAP untuk berjuang menegakkan demokrasi di Malaysia. Dua tahun kemudian, beliau meninggalkan pekerjaannya sebagai guru dan berkhidmat di DAP sepenuh masa sebagai Setiausaha Politik kepada Saudara Lim Kit Siang pada tahun 1973.

P. Patto juga merupakan pembahas dan pemidato yang hebat. Dengan padanan karisma dan retorik penghujahan, P. Patto dengan mudahnya menarik hati penyokong-penyokong yang turut sama inginkan perubahan buat Malaysia. Kebolehan beliau untuk berucap dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Tamil dengan baik mampu menyuntik semangat dan menabur inspirasi kepada orang ramai. Malahan, beliau yang berbangsa India ini juga mampu bertutur dalam dialek Kantonis, Mandarin dan Hokkien menjadikannya seorang yang unik dan sangat mudah untuk mendekatkan diri dengan pelbagai lapisan rakyat.

Sepanjang karier politiknya, beliau telah beberapa penggal menyandang jawatan sebagai ADUN Gopeng, Ahli Parlimen Menglembu dan Ahli Parlimen Bagan. Dalam DAP pula, beliau menjawat beberapa jawatan seperti Timbalan Setiausaha Agung, Setiausaha Organisasi Kebangsaan, Editor surat khabar Roket dan juga Setiausaha Kebangsaan DAPSY.

Akan tetapi, menjadi wakil rakyat yang lantang bersuara hadir dengan tantangannya. Pada tahun 1978, P. Patto dan Saudara Lim Kit Siang telah ditahan, didakwa dan disabit kesalahan atas pendedahan skandal pembelian empat SPICA-M ‘Fast Strike Craft’ buatan Sweden oleh Tentera Darat Malaysia. Pada tahun 1987 pula, P. Patto adalah sebahagian daripada 119 tahanan yang dipenjarakan di bawah Operasi Lalang. Beliau telah didakwa di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Memetik ucapan anak beliau, Kasthuri Patto (diterjemah) “Beliau mengorbankan 18 bulan di sebalik gerigi besi, jauh daripada isteri, kedua anak perempuannya, jauh daripada seluruh keluarganya, komrad-komrad parti, rakan-rakan dan penyokong hanya untuk memperjuangkan hak beliau buat keadilan sosial, kebebasan, demokrasi, hak sama-rata untuk semua, bagi mengikut hati nuraninya, prinsipnya dan bagi menegakkan visi Malaysian Malaysia dimana setiap rakyat, tidak kira warna kulit, bangsa, agama, jantina, bahasa, umur dan ideologi politik dapat menikmati hak dan penghormatan yang sama rata di tanah air Malaysia.”

Begitulah perjuangan seorang tokoh yang meninggalkan legasi khidmat kepada rakyat Malaysia. Jasanya tidak akan dilupakan. Terima kasih Saudara P. Patto. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Recommended Posts