Parlimen belum juga guna teknologi setelah pandemik

Oleh Fakhrurrazi Rashid

(Koordinator penyelidik Research for Social Advancement (Refsa))

PANDEMIK Covid-19 memberi satu ujian besar kepada perjalanan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.

Oleh kerana perjumpaan fizikal secara beramai-ramai adalah sesuatu yang berisiko tinggi, maka persidangan Parlimen secara fizikal juga tidak selamat dan mudah terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19. 

Perkara ini telah menyebabkan ramai ahli Parlimen mendesak supaya parlimen dijalankan secara maya (virtual) ketika pandemik Covid-19 belum reda. 

Persidangan secara maya merupakan perkara baharu yang belum dieksprementasikan di parlimen Malaysia dan ia dilihat penting untuk memastikan parlimen kekal berfungsi pada waktu pandemik.

Namun, persidangan Parlimen secara maya kian mustahil selepas pengisytiharan darurat telah menggantung fungsi badan legislatif di peringkat persekutuan dan negeri. 

Keputusan terburu-buru ini menimbulkan persoalan mengenai ketelusan badan eksekutif dalam menjalankan pentadbiran tanpa semakan parlimen sepanjang tempoh darurat.

Malah, pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak memberi komitmen untuk melaksanakan persidangan Parlimen secara maya dan ia tidak pernah dibahaskan oleh parlimen sejak dua persidangan yang lepas. 

Urusan Parlimen pada 2020 berjalan seperti “biasa” dengan SOP yang ketat serta waktu yang terhad.

Fokus kerajaan ketika itu hanyalah meluluskan Belanjawan 2021 selepas kedudukan majoriti PN tidak kukuh. 

Ketika kerajaan sedang meraikan kelulusan Belanjawan 2021, mereka tidak memikirkan usaha untuk membincangkan cadangan meminda Peraturan Mesyuarat untuk membenarkan persidangan secara maya. 

Apa yang lebih mengecewakan apabila kerajaan PN gagal membahaskan persiapan awal menghadapi gelombang Covid-19 seterusnya di Parlimen. 

Sikap optimis kerajaan PN yang bergantung kepada retorik Belanjawan 2021 dan kelemahan menjalankan tadbir urus negara menjadi faktor utama kes Covid-19 meningkat mendadak.

Dalam situasi sukar ini, kerajaan masih berfikir cara lama dengan meminggirkan peranan Parlimen yang sepatutnya dijadikan rakan strategik untuk membendung wabak Covid-19 secara bersama.

Kerajaan PN lebih gemar memilih pendekatan perutusan khas kerana ia bebas daripada tekanan Parlimen dan merupakan satu persembahan yang telah membelakangkan isu penting untuk membicarakan dasar ekonomi dan persediaan kerajaan untuk menambahbaik situasi rakyat dan negara. 

Amalan ini menonjolkan imej “perdana menteri bekerja keras” tetapi ahli Parlimen dilihat rakyat sebagai individu tidak melakukan tugas. 

Optik diberikan melalui perutusan khas ini telah menutup hakikat sebenar yang dihadapi ahli parlimen apabila tugas mereka telah disekat kerajaan PN dengan menggantung peranan Parlimen ketika pandemik Covid-19. 

Rakyat sebenarnya mahu melihat wakil rakyat mereka bekerja dan menyuarakan pandangan dan kritikan di Parlimen terhadap kelemahan tadbir urus kerajaan mengendalikan krisis pandemik dan ekonomi.

Institusi Parlimen bukan sahaja tempat untuk menyemak kejujuran kerajaan, tetapi ia turut membicarakn soal sokongan ekonomi dan kebajikan rakyat yang sering dilupakan kerajaan ketika membentuk sesuatu dasar dan program, terutama sekali kumpulan yang tidak bernasib baik dan berpendapatan rendah.  

Sebab itu persidangan secara maya dapat merancakkan lagi akses wakil rakyat untuk bersemuka dengan kerajaan secara terbuka untuk membawa isu rakyat untuk tindakan lanjut kerajaan secepat mungkin.  

Ironinya, pendekatan secara virtual telah digunakan oleh jabatan-jabatan kerajaan untuk mengadakan perjumpaan secara maya sama ada urusan dalam atau di luar negara. 

Parti-parti politik kerajaan menggunakan mesyuarat agung parti menggunakan pendekatan maya dengan beratus-ratus delegasi di seluruh negara. 

Badan kehakiman dan mahkamah di Malaysia mula mengadaptasi teknologi melakukan perbicaraan secara maya.

Namun, persidangan Parlimen secara maya masih lagi “mustahil” dilakukan pihak kerajaan dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat. 

Tafsiran baharu tatacara Parlimen

Sering kali alasan sekatan peruntukan perlembagaan persekutuan dijadikan alasan untuk melengahkan parlimen mengadaptasi persidangan secara maya.

Sekatan tersebut bukanlah berpunca daripada kelemahan perlembagaan persekutuan mahupun peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, tetapi setiap tafsiran yang berkait dengan tatacara Parlimen perlu diubah, menggunakan pendekatan baharu yang memenuhi tuntutan semasa negara. 

Contohnya Perkara 62(5) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan ahli Parlimen tidak hadir persidangan tidak dibenarkan mengundi.

Adakah ahli Parlimen yang menyertai persidangan secara maya tidak boleh mengundi kerana dianggap tidak hadir ke Parlimen secara fizikal? 

Tafsiran istilah “tidak hadir” boleh diperincikan lebih lanjut memandangkang konteks semasa telah berubah dan tidak bergantung kepada kehadiran fizikal semata-mata. 

Perkara 62(1) memberikan kuasa Parlimen menentukan tatacara sendiri dalam menguruskan persidangannya.

Jadi, kerumitan yang dinyatakan pihak kerajaan PN hanyalah satu alasan untuk menafikan hak ahli parlimen menguji keberkesanan rancangan dan pelakansaan mereka. 

Jika benar pihak kerajaan menghormati ketinggian Parlimen, mereka boleh sahaja membenarkan ahli parlimen membahas dan bersama-sama melakukan perancangan nasional bagi mengatasi Covid-19 secara strategik.

Ahli Parlimen perlu diberikan hak mengundi untuk menentukan keputusan terbaik buat kerajaan bagi megelakan kesilapan lama berulang. 

Semua perkara ini dapat dilakukan dengan segera sekiranya persidangan parlimen secara maya dapat direalisasikan sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020. 

Perkhidmatan Parlimen begitu penting ketika krisis. Meskipun kita harus akui bahawa pendekatan semak dan imbang secara maya mempunyai kelemahan, tetapi ia bukan satu alasan untuk kerajaan dan Parlimen melengahkan penggunaan teknologi dalam urusan Parlimen. 

Pendekatan teknologi ini bukan sahaja tertumpu kepada soal ketelusan terhadap kerajaan, tetapi ia merupakan satu integrasi antara kerajaan dan masyarakat bekerjasama menghadapi cabaran Covid-19. 

Kita harus akui Parlimen Malaysia masih jauh dalam mengadaptasi persidangan Parlimen secara maya.

Usaha mengadaptasi teknologi kepada institusi Parlimen perlu diperbahaskan secara rancak.

Ia tidak seharusnya tertumpu kepada krisis hari ini, tetapi melihat kepada persediaan Parlimen untuk menempuh cabaran pada masa hadapan. 

Peristiwa pihak kerajaan meminggirkan peranan Parlimen sewaktu pandemik tidak boleh diulang lagi agar ia tidak menyusahkan generasi akan datang. – Roketkini.com

Recommended Posts