
Keengganan PAS bersuara terhadap gesaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, agar kerajaan mengadakan semula pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur baru-baru ini membuktikan betapa hipokritnya parti ini. Hanya empat bulan lalu, PAS lantang menentang cadangan yang sama oleh DAP, malah sanggup mengheret tragedi 13 Mei 1969 untuk menakut-nakutkan rakyat dengan retorik perkauman lapuk. Namun, apabila MCA mengusulkan perkara serupa, PAS tiba-tiba membisu seribu bahasa.
Jelas sekali, PAS dan MCA hanya memainkan isu perkauman apabila ia menguntungkan mereka. Jika benar PAS berpegang teguh pada prinsip menolak pilihan raya PBT, mengapa mereka tidak menyerang MCA sebagaimana mereka menyerang DAP? Atau adakah “prinsip” PAS ini sebenarnya tidak wujud, dan mereka hanya menyalak apabila ia memberi keuntungan politik?
Lebih memualkan, adakah ini bukti bahawa PAS dan MCA telah lama bersekongkol memperalatkan isu perkauman demi kepentingan politik masing-masing? Adakah surat akuan bersumpah (SD) yang pernah ditandatangani MCA kepada PAS tidak bertarikh dan masih berkuat kuasa, menjadi tali gantung yang mengikat kedua-dua parti ini dalam permainan politik kotor mereka?
PAS dan MCA bukanlah pejuang rakyat, apatah lagi pembela keadilan. Mereka hanyalah ahli politik oportunis yang sanggup meniup api perkauman apabila ia menguntungkan mereka tetapi menikus apabila rakan sekutu sendiri terlibat. Hipokrasi sebegini tidak boleh dibiarkan berterusan. Rakyat harus menolak politik kotor dan penuh sandiwara ini sebelum ia merosakkan negara lebih jauh.
Terima kasih.
Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong