
Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan tidak masuk akal Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menuduh Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebagai agenda menyingkirkan kaum tertentu dan membuka jalan kepada pilihan raya pihak berkuasa tempatan. Nampaknya, PAS semakin ketandusan isu sehingga terpaksa menjaja mitos perkauman murahan untuk menakut-nakutkan rakyat.
Hakikatnya, URA diwujudkan untuk memperbaharui kawasan perumahan lama yang usang, tidak selamat dan berisiko tinggi untuk didiami. Banyak bangunan mengalami masalah struktur, sistem elektrik dan saliran uzur, selain ketiadaan fasiliti moden. Jika PAS mahu mempertahankan rumah hampir roboh dan membiarkan rakyat hidup dalam keadaan berbahaya, itu pilihan mereka. Tetapi kerajaan MADANI tidak akan membiarkan rakyat terus terperangkap dalam kemiskinan bandar hanya kerana takut kepada perubahan.
Lebih penting, pemilik rumah asal — tanpa mengira kaum — diberi keutamaan memiliki unit baharu secara percuma atau dengan harga diskaun. Mereka tidak diusir, malah ditawarkan kediaman lebih selesa di lokasi yang sama. Jadi, dari mana datangnya dakwaan bahawa URA adalah “kaedah halus” untuk menghalau orang Melayu dan India keluar dari bandar? Atau mungkinkah PAS sebenarnya takut rakyat memahami fakta sebenar dan tidak lagi termakan propaganda mereka?
Lebih melucukan, Tuan Ibrahim mendakwa undang-undang sedia ada, yang memerlukan persetujuan 100% pemilik sebelum pembangunan semula boleh dijalankan, adalah memadai. Logik apa yang PAS guna? Bagaimana mahu mendapatkan persetujuan penuh jika ada pemilik yang sudah meninggal dunia, hilang, atau terbabit dalam pertikaian hak milik? Kalau ikut logik PAS, sampai kiamat pun pembangunan tidak boleh dijalankan. Hanya di Korea Utara setiap keputusan diterima bulat-bulat tanpa sebarang bantahan.
PAS perlu berhenti memperbodohkan rakyat dengan teori konspirasi dangkal. URA bukan rancangan jahat, tetapi satu usaha kerajaan memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik.
Lim Lip Eng
Ahli Parlimen Kepong