PAS yang kerap didakwa derhaka menuduh DAP gerakan subversif; karut marut yang kurang cerdik

472713317 1156358109181868 7299746319237647003 n

Saya terpanggil untuk respon terhadap dakwaan meleset dan mengarut oleh Hafez Sabri, Timbalan Ketua Pemuda PAS, yang menuduh DAP sebagai “gerakan subversif” kononnya mengancam kedaulatan Islam di Malaysia. Ingin saya jelaskan, DAP ialah sebahagian daripada kerajaan yang dipilih secara demokratik—mana mungkin sebuah “gerakan subversif” boleh berada di tampuk pentadbiran negara? Nak guling dan tumpas diri sendiri?

Takrif “Subversif”

Pertamanya, kita kena faham maksud “subversif” dalam konteks politik. Istilah ini merujuk kepada gerakan yang cuba melemahkan atau menjatuhkan sesebuah kerajaan secara sulit atau terang-terangan, dengan menanam bibit perpecahan dan kekacauan dalam masyarakat. Kalau benar Hafez Sabri yakin DAP adalah gerakan subversif, saya rasa eloklah beliau rujuk Kamus Dewan dahulu, sebab nampaknya beliau syok sedap guna istilah besar tanpa faham erti sebenar.

Siapa Sebenarnya Subversif?

Pada hemat saya, jika benar-benar wujud pihak yang cuba menimbulkan kebencian dan perpecahan antara rakyat, lalu menggoncang kestabilan negara, maka PAS-lah yang lebih menepati definisi “subversif.” Retorik melampau yang meniupkan sentimen keagamaan untuk menimbulkan syak wasangka dan ketegangan, semata-mata demi menggugat kerajaan sedia ada—itu memang modus operandi golongan subversif yang sebenar.

Pengalaman Turun ke Jalan

Saya bukan asing dengan demonstrasi jalanan. Ramai juga pimpinan PAS yang hari ini bergelar ‘otai’ pernah berdiri bersama saya di atas lori dan berceramah berapi-api, waktu Hafez Sabri masih berhingus lagi di Chemor. Saya tetap menyokong hak rakyat untuk berhimpun secara aman, tetapi takkanlah nak berdemonstrasi atas isu-isu yang sudah ternyata jatuh di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dan institusi raja-raja? Ternyata, sejarah pun sudah merekodkan bagaimana PAS pernah “derhaka” dalam beberapa keadaan, sesuatu yang mereka ingin lupuskan daripada ingatan rakyat.

Noktah untuk Timbalan Ketua Pemuda PAS

Jadi, izinkan saya “menyekolahkan” saudara Hafez Sabri sedikit:

1. “Subversif” bukanlah bermaksud “orang yang tak setuju dengan pandangan parti awak.”
2. “Kedaulatan” bukan hak eksklusif mana-mana parti politik, tetapi milik bersama seluruh rakyat Malaysia di bawah naungan Raja-Raja Melayu.
3. “Perpaduan” takkan tercapai jika asyik menebar fitnah dan mewujudkan kebencian kaum atau agama.

Kalau benar ada pihak yang cuba mencetuskan huru-hara dan menjejaskan demokrasi berparlimen kita, janganlah cari jauh-jauh—tengok saja taktik PAS sendiri yang asyik meniupkan sentimen melulu dan prasangka. Moleklah Hafez Sabri semak semula kamus dan Perlembagaan Persekutuan sebelum sembarangan membebel tentang “subversif” dan “kedaulatan” seolah-olah beliau lebih arif daripada pakar bahasa dan pakar undang-undang.

Howard Lee Chuan How
Ahli Parlimen Ipoh Timor
Ahli Jawatankuasa Pusat DAP

Recommended Posts