Pejabat Tutup, Gaji Tak Bayar – PN Patut Cermin Diri Sebelum Bercakap Soal Tadbir Negara

Saya merujuk kepada laporan bahawa Ibu Pejabat Perikatan Nasional (PN) di Solaris Dutamas telah ditutup, dengan dakwaan bahawa kakitangannya telah diberhentikan dan tidak menerima gaji sejak hampir dua bulan lalu.

Jika dakwaan ini benar, ia bukan sekadar isu pentadbiran dalaman, tetapi merupakan kegagalan kepimpinan yang amat serius. Ia turut mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja sendiri.

Sebuah gabungan politik yang sering melaungkan slogan “selamatkan negara”, tetapi gagal menguruskan pejabat sendiri, adalah satu ironi yang memalukan. Jika premis sendiri pun tidak mampu diurus dengan baik, bagaimana mahu mentadbir negeri atau negara?

Saya menggesa Jabatan Tenaga Kerja untuk segera menyiasat dakwaan ini. Pada masa yang sama, pihak KWSP dan PERKESO juga perlu menyemak sama ada caruman untuk kakitangan terlibat telah dibuat atau turut tertunggak. Sekiranya benar berlaku kegagalan dalam pembayaran gaji dan caruman wajib, ini merupakan satu pelanggaran undang-undang buruh yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.

Selain itu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia juga perlu menyiasat sama ada terdapat pelanggaran peraturan oleh PN sebagai sebuah pertubuhan politik berdaftar, termasuk kegagalan menguruskan pentadbiran secara teratur.

Kalau pejabat pun tak mampu dijaga, jangan berlagak mahu mentadbir negara.

Lim Lip Eng

Ahli Parlimen Kepong

Recommended Posts