
- Negara berduka menerima berita nahas kemalangan bas yang meragut nyawa 15 orang pelajar UPSI semalam.
- Tragedi ini mengingatkan kita akan keperluan untuk menggiatkan lagi penguatkuasaan undang-undang sedia ada, serta menambahbaik dasar bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
- Semalam, Menteri Pengangkutan Sdr Anthony Loke Siew Fook telah mengumumkan bahawa pelaksanaan wajib pengehad kelakuan (‘speed limiter’) sedang dirangka bagi kenderaan berat. Menurut Sdr Anthony Loke, dasar ini dirangka secara menyeluruh bagi memastikan tiada ruang manipulasi selepas ia dikuatkuasakan.
- Saya menyokong sepenuhnya pelaksanaan dasar ini, yang merupakan suatu langkah tepat bagi meningkatkan keselamatan jalan raya. Malahan, menurut rekod, pengumuman dan diskusi mengenai perkara ini sudah dilaporkan sejak 10 tahun lalu. Pengumuman Menteri Pengangkutan semalam bahawa dasar sini akan dilaksana secara wajib menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI untuk melindungi pengguna jalan raya.
- Saya juga menggesa semua pihak, termasuk syarikat-syarikat yang memiliki kenderaan berat termasuk bas dan lori, untuk menyokong inisiatif ini dan membantu pihak Kerajaan dalam memastikan kejayaan dasar ini.
- Pada masa yang sama, pihak berkuasa juga harus menggiatkan lagi tindakan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, terutama sekali ke atas kenderaan berat. Di samping itu, kempen kesedaran juga harus diperbanyakkan untuk mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang.
- Nyawa 15 orang anak muda Malaysia yang hilang semalam tidak dapat dikembalikan. Akan tetapi dengan dasar dan tindakan yang tepat dan tuntas, kita dapat mengusahakan supaya tragedi seperti ini tidak berulang lagi.
Syahredzan Johan