PELANCARAN PROJEK PEMASANGAN PANEL SOLAR DI PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SELANGOR

428701946 932137631829301 7043991753826928898 n
1. Kerajaan Negeri Selangor komited dalam usaha menangani perubahan iklim, termasuklah sumber Tenaga Boleh Diperbahrui (RE) melalui pelaksanaan pemasangan panel solar. Sejajar dengan komitmen ini, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Teknologi Hijau telah mengorak langkah dengan memulakan projek pemasangan panel solar di bangunan-bangunan milik kerajaan iaitu di Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor dan 9 buah bangunan di setiap Pejabat Daerah/Tanah (PDT) di Negeri Selangor bermula pada tahun 2019.
2. Bagi pelaksanaan pemasangan panel solar ini, selepas melalui pelbagai proses konsultansi dan perbincangan Kerajaan Negeri menerusi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX Sdn. Bhd, pemeteraian perjanjian Tripartite telah dapat dimuktamadkan. Pemeteraian perjanjian ini menandakan satu pencapaian penting bagi Kerajaan Negeri dalam mempraktikkan amalan hijau dan membawa Kerajaan Negeri melangkah setapak lagi ke arah merealisasikan agenda rendah karbon.
3. Khusus bagi Pelancaran Projek Pemasangan Panel Solar di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri pada hari ini, untuk makluman semua, pemasangan panel solar telah selesai dan mula beroperasi pada 16 Ogos 2023.
Status terkini pemasangan solar di bangunan Kerajaan Negeri adalah seperti berikut:
i. Bangunan SUK – Selesai pemasangan dan mula beroperasi pada 16 Ogos 2023
ii. PDT Hulu Selangor – Selesai pemasangan dan mula beroperasi pada 17 Januari 2024
iii. PDT Kuala Langat – Selesai pemasangan dan masih menunggu kelulusan lesen daripada Suruhanjaya Tenaga
iv. PDT Sabak Bernam – Selesai pemasangan dan di peringkat ujian akhir
v. PDT Petaling – Pemasangan panel solar akan dimulakan pada akhir bulan Februari 2024
vi. PDT Klang – Pemasangan panel solar akan dimulakan pada akhir bulan Februari 2024
vii. PDT Gombak – Pemasangan panel solar akan dimulakan pada akhir bulan Februari 2024
viii. PDT Sepang – Pemasangan panel solar akan dimulakan pada akhir bulan Februari 2024
ix. PDT Kuala Selangor – Pemasangan panel solar akan dimulakan pada akhir bulan Februari 2024
x. PDT Hulu Langat – Pemasangan panel solar akan dimulakan pada akhir bulan Februari 2024
4. Selain projek pemasangan panel solar di Bangunan SUK dan PDT, inisiatif ini telah mula dilaksanakan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan dalam Negeri Selangor dengan pelaksanaan pemasangan panel solar di bangunan-bangunan dan kemudahan-kemudahan di bawah Pihak Berkuasa Tempatan termasuklah dewan, pasar dan taman awam.
5. Selain daripada pemasangan panel solar di bumbung bangunan, Kerajaan Negeri menerusi anak syarikat, Worldwide Holdings Berhad juga aktif meneroka projek-projek tenaga boleh diperbaharui dengan membangunkan ladang solar berskala besar terapung yang kini dalam fasa pelaksanaan di Bestari Jaya, Kuala Selangor.
6. Justeru, Kerajaan Negeri Selangor menyeru semua pihak terutamanya Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri untuk meneroka dan melaksanakan inisiatif pemasangan panel solar di bawah program yang ditawarkan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) seperti Program Net Energy Metering (NEM) dan lain-lain program yang bersesuaian dalam usaha ke arah merealisasikan agenda rendah karbon.
7. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam usaha melestarikan alam sekitar, terutama sekali dalam berhadapan dengan kesan perubahan iklim. Usaha-usaha ini akan diteruskan bagi menyokong usaha negara dan global dalam mengurangkan intensiti pelepasan karbon sebanyak 45% menjelang tahun 2030 dan sifar karbon seawal tahun 2050.
YB PUAN JAMALIAH BINTI JAMALUDDIN
EXCO KESIHATAN AWAM DAN ALAM SEKITAR

Recommended Posts