Pemilihan khariah masjid Pulau Pinang dapat sambutan hebat

GEORGETOWN, 17 JUN – Daripada 200 masjid di Pulau Pinang, 4,485 calon telah menawarkan diri untuk mengisi 4,530 jawatan di 151 masjid manakala 34 masjid berkompromi tanpa bertanding. Hanya 8 masjid tidak menghantar borang pencalonan.

Di mana masalah “perpecahan” umat Islam di Pulau Pinang yang digembar-gemburkan oleh UMNO dan kumpulan-kumpulan yang sealirannya dengannya?

Persoalan itu dibangkitkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Kassim terhadap fitnah UMNO mengenai tata cara pemilihan jawatankuasa masjid di Pulau Pinang.
“Jelas daripada statistik tersebut terbukti bahawa anak-anak kariah masjid telah bersedia untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata UMNO cuba mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam isu pemilihan jawatankuasa masjid di Pulau Pinang semata-mata kerana mahu membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap kerajaan Pakatan Rakyat.

Menurutnya UMNO enggan menerima hakikat bahawa sistem pemilihan membolehkan anak-anak khariah mencadangkan jawatankuasa masjid masing-masing kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Apabila MAINPP memperkenalkan pemilihan jawatankuasa masjid, UMNO dan NGO-NGO yang sealiran dengannya cuba mengeksploitasi isu ini.

“Pada hal tata cara pemilihan ini sahaja yang berubah. Jika dahulu dengan cara angkat tangan sekarang hendak dibuat ala pilihan raya. Jika dahulu dibuat pelantikan tanpa mengambil kira pandangan anak-anak khariah, sekarang mereka berhak memilih.

“Jelas, UMNO mempolitikkan isu ini dengan memfitnah DAP, kononnya parti itu campur tangan dalam urusan pentadbiran Islam negeri ini. Saya tegaskan, ini adalah keputusan MAINPP tanpa ada walau sekelumit pun campur tangan oleh pemimpin DAP,” jelasnya.

Abdul Malik berkata hanya UMNO dan kumpulan ultra Melayu Perkasa yang enggan berubah kerana mereka berfikiran jumud.
“Sebab itu setiap pembaharuan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat, ia akan ditentang secara melulu, walau pun akhirnya mereka akan meniru,” tambahnya.

Beliau memberi contoh pentadbiran negeri Kelantan yang memperkenalkan hari bekerja lima hari seminggu yang ditentang hebat oleh UMNO kononnya kerajaan Kelantan pimpinan PAS malas dan akan merendahkan produktiviti.
Namun, menurutnya, kerajaan pusat UMNO dan Barisan Nasional akhirnya mengikut jejak langkah kerajaan negeri Kelantan, mencerminkan sikap hipokrit UMNO dan BN.

“Sebenarnya UMNO hendak melindung kerja jahat mereka terhadap institusi masjid di bawah kerajaan BN di mana sewaktu mereka memerintah Pulau Pinang, pelantikan tidak demokratik, ia hanya dipilih oleh pemimpin UMNO, bukan anak kariah. Perlantikan juga bukan dari ahli masjid yang tidak layak dari segi peribadi untuk mengimarahkan masjid.

“InsyaAllah selepas ini kita boleh lihat perbezaan masjid di negeri yang ditabdir oleh Pakatan Rakyat dari segi pengimarahannya,” katanya.

Abdul Malik berkata mesyuarat agung pemilihan khariah masjid Pulau Pinang yang bermula esok akan tetap diteruskan kerana ia menepati Seksyen 22 (4) Enakmen MAINPP.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak akan menghalang mana-mana pihak yang mahu mencabar keputusan itu di mahkamah.
“Apa yang kami lakukan adalah semata-mata kerana kebaikan, bersifat pro-rakyat dan menguntungkan umat Islam. Tidak timbul soal agenda politik sebagaimana yang biasa menjadi permainan UMNO,” tambah beliau. – Roketkini.com

Recommended Posts