PEMIMPIN PAS BERI GAMBARAN APA TERJADI DI PALESTIN BERLAKU DI MALAYSIA – TINDAKAN MELAMPAU DAN TIDAK BOLEH DITERIMA!

syah
  1. Beberapa hari yang lepas, menerusi hantaran Facebook, pemimpin PAS dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa YB Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary telah menulis status dengan tajuk “BELAJAR DARIPADA SEJARAH PALESTIN: JANGAN KITA ULANGI KESILAPAN YANG SAMA”.

  2. Dalam status tersebut, YB Datuk Ahmad Marzuk telah menyeru supaya umat Islam belajar daripada sejarah yang berlaku kepada warga Palestin. Menurut Datuk Ahmad Marzuk, orang Palestin telah menerima pendatang Yahudi atas dasar kemanusian, tetapi akhirnya rakyat Palestin sendiri menjadi mangsa kezaliman dan diusir keluar daripada tanah mereka sendiri.

  3. Datuk Ahmad Marzuk kemudian mendakwa bahawa tanda-tanda perkara yang sama dengan apa terjadi di Palestin, kini dapat dilihat di tanah air kita sendiri.

  4. “Bidang ekonomi kini semakin dikuasai oleh bukan Islam dan bukan bumiputera. Gedung-gedung besar, syarikat utama, dan tanah-tanah strategik sudah lama keluar dari genggaman umat Islam. Kini langkah mereka telah sampai ke Putrajaya, menggubal undang-undang, menulis akta, dan perlahan-lahan menata peta kuasa politik negara ini.”

    Kenyataan ini jelas merujuk kepada golongan bukan Islam dan bukan bumiputera di Malaysia, yang kononnya semakin mengawal ekonomi, tanah, perundangan dan kini politik negara.

  5. Datuk Ahmad Marzuk juga mendakwa bahawa “sejarah Palestin sedang menulis babak baharunya di bumi Malaysia jika kita terus lena,” dan kemudian mengaitkannya dengan perjuangan PAS selama ini.

  6. Apa yang disampaikan oleh pemimpin PAS ini adalah jelas; orang Melayu dan Islam di tanah air mereka sendiri akan mendapat nasib yang sama seperti rakyat Palestin jika kita lalai. Bezanya di sini, pelakunya adalah golongan bukan Melayu dan bukan Islam.

  7. Kita semua bersatu menentang kezaliman Israel dan tindakan rejim Zionis yang tidak berperikemanusiaan dan melanggar batas manusiawi. Tiada pertikaian mengenai perkara ini. Tetapi, tindakan Ahli Parlimen PAS ini yang mengaitkan rakyat Malaysia bukan Islam dan bukan Melayu dengan apa yang dilakukan oleh Israel ke atas Palestin adalah melampau dan tidak boleh diterima.

  8. PAS diingatkan sekai lagi bahawa orang bukan Melayu dan bukan Islam telah bersama-sama dengan orang Melayu dan Muslim untuk membina negara kita yang tercinta ini. Maka pemimpin Perikatan Nasional seperti Datuk Ahmad Marzuk tidak wajar dan tidak berhak mempersoalkan keikhlasan mereka demi politik sempit.

  9. Rakyat Malaysia baru sahaja menyambut perayaan Deepavali dalam semangat kebersamaan dan muhibbah. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dalam ucapannya mengingatkan rakyat Malaysia untuk menghargai dan mempertahankan kepelbagaian dalam Malaysia.

  10. Malangnya, pemimpin PAS seperti Datuk Marzuk sanggup memberi gambaran bahawa rakyat Malaysia yang bukan Melayu dan Islam sebagai musuh dalam selimut yang mempunyai agenda jahat terhadap orang Melayu dan Muslim.

  11. Jelas bahawa PAS masih membawa perkauman sempit dan memecahbelahkan masyarakat. Rakyat Malaysia yang mencintai negara kita yang berbilang bangsa diseru untuk menolak politik lapuk seperti ini.

  12. Pada masa yang sama, rakan-rakan politik PAS dalam Perikatan Nasional, serta sekutu politik mereka yang lain dalam gagasan longgar ‘Ikatan Prihatin Rakyat’, dicabar untuk menyatakan pendirian mereka mengenai apa yang disuarakan oleh pemimpin PAS ini.


Rujukan:
🔗 Hantaran Facebook YB Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary

Recommended Posts