Pemimpin Politik Perlu Berani Pilih Jalan Damai

436725323 783306187114829 4783407474947594949 n

Kenyataan Media Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Raja Ahmad Iskandar Fareez pada Selasa, 9 April 2024

Ketika berdepan dengan isu kontroversi, pemimpin politik bertanggungjawab meredakan ketegangan, bukannya menyemarakkan perselisihan. Malah, pemimpin perlu menunjukkan contoh teladan yang baik buat masyarakat dengan memilih jalan damai biarpun ia suatu pilihan yang mencabar.

Baru-baru ini, hasrat ramai untuk menyambut Ramadan dengan tenteram tidak kesampaian apabila saban hari diganggu insiden kontroversi setiap minggu. Ketenteraman ini tidak juga muncul di hari-hari akhir Ramadan apabila timbul pula isu salah tafsir logo beberapa kasut berjenama ketika khalayak ramai sedang sibuk membuat persiapan hari raya.

Walaupun insiden berbeza, modus operandinya sama. Warga siber yang berpengaruh membangkitkan isu hangat di media sosial. Momentum kemarahan daripada interaksi pembaca dijadikan penentu oleh algoritma media sosial bagi mendorong sesuatu isu diangkat tular (viral). Kemudian, ia dilapor oleh rangkaian berita dan portal lalu tercetus satu lagi kitaran kemarahan yang dibawa ke media sosial. Begitulah kitaran kemarahan ini berlanjutan sehingga isu lain pula yang menggamit perhatian dan menyalakan kemarahan warga siber.

Bagi setiap insiden, ruang perlu diberikan kepada pihak berkuasa membuat siasatan lanjut dan pihak yang terlibat untuk membuat penerangan. Walau bagaimanapun, sering kali ruang ini dikerumuni oleh pihak yang lebih mementingkan agenda peribadi sama ada dijadikan modal politik atau untuk segelintir pempengaruh yang menjadikan sesuatu isu sebagai ‘umpan kemarahan’ (rage-baiting) untuk pemasaran produk. Lebih malang lagi, ada yang tidak teragak-agak untuk mengutarakan komen yang disulami unsur perkauman dan kebencian tanpa menghiraukan jika tindakan mereka bakal mengeruhkan keadaan dan meluaskan jurang perpecahan.

Dalam era dominasi media sosial, sememangnya mudah untuk kita dihanyut arus kemarahan yang tercetus di alam maya. Untuk ahli politik, bukan senang untuk menongkah arus sentimen yang disangka popular. Namun, inilah tanggungjawab seorang pemimpin dalam konteks masyarakat berbilang kaum – perlu berani menggunakan kebijaksanaan untuk memimpin dan menegur bagi memelihara keharmonian negara. Bukannya menjadi individu paling lantang mengapi-apikan sentimen perkauman.

Sempena Syawal yang bakal menjelang, semoga kita jadikan sambutan lebaran kali ini sebagai peluang untuk membuat renungan. Misi membina negara Malaysia merupakan satu perjalanan yang panjang dan ia memerlukan usaha setiap antara kita tidak kira warna kulit ataupun fahaman. Biarlah jalan damai itu sentiasa menjadi pilihan kita sebagai masyarakat tidak kira betapa sukar ia sekalipun.

 

Recommended Posts