
Saya mengalu-alukan perkembangan mengenai Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Jawatankuasa kuil telah menghubungi saya kira-kira sebulan setengah yang lalu untuk menyuarakan kebimbangan mereka mengenai status kuil tersebut. Mereka telah meminta bantuan saya.
Pihak kami terus memulakan kerja dan berhubung dengan pihak-pihak berkenaan. Saya juga telah melawat kuil tersebut.
YB P. Prabakaran juga telah membantu jawatankuasa kuil secara aktif. Beberapa cadangan telah dikemukakan tetapi perkara yang paling penting bagi kami adalah untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ini membawa kepada beberapa siri perbincangan antara jawatankuasa kuil dan agensi kerajaan, dan disusuli mesyuarat sepanjang minggu lalu.
Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, YB Prabakaran, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, dan pasukannya dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana membantu kami mencari jalan penyelesaian.
Sebuah tapak yang sesuai telah dipersetujui petang semalam. Tapak baharu tersebut seluas 4,000 kaki persegi dan terletak kurang daripada 100 meter dari lokasi sedia ada kuil tersebut.
Tanah tersebut akan digazetkan atas nama jawatankuasa kuil, mengikut undang-undang.
Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam perkara ini. Saya berada di sini pada malam ini untuk melawat kuil dan menawarkan doa selepas pengumuman petang tadi mengenai tapak baharu kuil tersebut.
GOBIND SINGH DEO
MENTERI DIGITAL
PENGERUSI DAP KEBANGSAAN